IS Sebar Propaganda Menerusi Telegram

KUMPULAN militan IS kini dilaporkan kini aktif menggunakan aplikasi mudah alih, Telegram bagi menyebarkan propagandanya kepada masyarakat dan pengguna medium sosial tersebut.‎

 

 

Lapor sebuah portal antarabangsa hari ini, penyebaran propaganda dilakukan secara giat setelah laman akaun Twitter milik kumpulan tersebut ditutup berkali-kali sejak setahun lalu.

 

 

“Militan IS dan kumpulan jihad yang lain nampaknya seperti mengeksploitasi fungsi baharu yang diperkenalkan oleh aplikasi Telegram bulan lalu.

 

 

“Fungsi baharu itu membolehkan pengguna untuk memuatnaik dan memaparkan mesej mereka kepada pengguna Telegram yang lain dan ianya tidak terhad,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

 

 

Hanya selepas empat hari Telegram mengumumkan ciri-ciri baharu itu, kumpulan tersebut telah aktif ‘mengiklankan’ perjuangan mereka di saluran Telegram.

 

 

Setakat ini, kumpulan tersebut sudah mencatatkan lebih  4,500 pengikut.

 

 

“‎Propaganda IS akan muncul dahulu di Telegram selama beberapa minit sebelum dimuatnaik ke Twitter,” katanya lagi.

 

Kumpulan itu turut mengaku melancarkan serangan ke atas sebuah hotel di bandar Yaman Aden pada Selasa, yang mana serangan tersebut telah mengorbankan sehingga 15 nyawa.

 

“Kumpulan tersebut  berharap Telegram yang berpangkalan di Berlin akan menawarkan platform yang lebih stabil dan berdaya tahan untuk terus menyebarkan propagandanya.

 

“Bagaimanapun menurut laman web pihak pengurusan Telegram, pihaknya sudah mengambil langkah untuk mengharamkan dan menyekat mesej-mesej dan aplikasi berkaitan dengan IS,” ujar laporan portal itu.

 

 

IS tidak mempunyai akaun rasmi di Twitter sejak Julai 2014.

 

 

Kumpulan IS sebelum itu pernah bertapak di platform rangkaian sosial terbesar Rusia, VKontakte, bagaimanapun kumpulan terbabit diharamkan daripada platform tersebut.

 

 

Telegram adalah saluran sistem pesanan serba baharu yang menyediakan fungsi yang lebih menjamin keselamatan privasi pengguna.

 

 

Aplikasi tersebut membolehkan penggunanya mengakses aplikasi tersebut di pelbagai peranti, selain bebas dari serangan penggodam dan membolehkan (mesej yang disampaikan) ternyahkan dengan sendiri.

 

 

Malah sebelum kumpulan tersebut melancarkan saluran propaganda terbarunya menerusi Telegram, telah terdapat bukti bahawa kumpulan itu telah menggunakan aplikasi tersebut.

 

 

Terdahulu ketika insiden penculikan warga Jordan dan Jepun pada September tahun lepas, kumpulan itu mengiklankan nombor telefon bimbit Iraq untuk memudahkan urusan pembayaran wang tebusan.

 

 

Kumpulan militan IS turut dikaitkan dengan serangan seorang remaja British ke atas polis di Sydney baru-baru ini.

 

 

IS dipercayai menyebarkan rancangan serangan kepada remaja terbabit menerusi mesej menggunakan aplikasi Telegram.-Sinar.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.