Ketua Pemuda PAS Ketuai Kumpulan Protes Kenaikan Minyak Serah Memorandum Depan Bangunan Parlimen

Kuala Lumpur – Lebih 100 peserta membantah kenaikan harga minyak dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mengadakan bantahan di hadapan bangunan Parlimen berhubung kenaikan 20 sen minyak petrol RON95 dan diesel yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Sambil membawa sepanduk tertera tulisan “Kembalikan Wang Saku Anak-Anak Kami,” “No GST”, dan “Saya Bantah GST”, mereka menyanyikan lagu “Saya Pak Cik Najib” di perkarangan Parlimen.

Sejurus selepas mereka mengadakan protes sekitar sejam, wakil ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat (PR) menerima memorandum yang diserahkan wakil kumpulan berkenaan.

Turut kelihatan mengetuai protes itu adalah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dan aktivis Haris Ibrahim. Wakil ahli Parlimen PR yang kelihatan menerima memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa serta beberapa lagi ahli Parlimen lain.

Melalui referendum mereka, kumpulan berkenaan menuntut agar kerajaan membatalkan pengurangan subsidi minyak yang meningkatkan harga minyak.

Selain itu, mereka turut menuntut kerajaan menghentikan rancangan melaksanakan GST dan adakan referendum mendapatkan persetujuan rakyat sebelum tergesa-gesa melaksanakan GST, serta menuntut ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PR untuk membawa usul tergempar mengenai isu ini di Parlimen.

Kumpulan berkenaan juga turut menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil kerajaan iaitu Mohd Zain Zainal, pegawai khas di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kolonel Omar Daud, mewakili Kelab Kumpulan Penyokong BN.

Mewakili ahli Parlimen PR, Mahfuz berkata beliau dan rakan-rakan pemimpin pembangkang di Parlimen akan membawa isu berkenaan ke dalam perbahasan mereka.

“Kami akan membawa ke perbahasan kami di Parlimen.

“Saya berjanji bagi pihak PR kami sentiasa menjiwai semangat yang dibawa anda semua,” kata Mahfuz.

Tepat jam 11.30 pagi, kumpulan itu berarak menuju ke Tugu Negara dan bersurai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.