GPMS Sokong Cadangan Isu SJKC Dibawa Ke Perhimpunan Agung UMNO

Kuala Terengganu – Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menyokong tindakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Mohamed Azli Mohemed Saad yang mencadangkan supaya isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibincangkan pada perhimpunan agung Umno bulan depan.

Presidennya Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pihaknya mencadangkan agar perkara itu menjadi antara agenda penting untuk dibincangkan pada perhimpunan agung itu.

“Kami hairan mengapa MCA bimbang mengenai cadangan isu itu dibahaskan sehingga perlu meminta pihak polis siasat atas alasan akan berlaku ketegangan kaum selain dikatakan bercanggah dengan perlembagaan negara.

“Sehubungan itu Alumni GPMS Kebangsaan menggesa Pengerusi Biro Harmoni Agama MCA, Datuk Ti Lian Ker memperincikan butiran yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwanya bercanggah berkaitan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Anuar yang juga setiausaha agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) berkata cadangan penghapusan sekolah vernakular tidak sepatutnya dilihat sebagai menafikan hak sesuatu kaum untuk mengajar dan mempelajari bahasa ibunda mereka sebaliknya usaha itu lebih kepada penggunaan bahasa kebangsaan selain merapatkan hubungan antara kaum yang jurangnya kian melebar. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.