DAP Mengutuk Jawapan AG Berkaitan Kes Ugutan Pemuda UMNO

Kuala Lumpur – DAP meminta Peguam Negara menyemak kembali keputusan tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Pemuda Umno yang berdemonstrasi dan mengugut untuk membakar ibu pejabat parti itu Mei lalu.

Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata sekiranya Peguam Negara Tan Sri Gani Patail tidak menyemak semula parti itu akan membawa kes itu ke mahkamah bagi memfailkan semakan kehakiman.

“Saya mengutuk jawapan daripada Peguam Negara itu yang memomokkan sistem kehakiman negara. Sekiranya tiada tindakan lanjut (maknanya) Peguam Negara mempertahankan pelaku salah.

“Keputusan ini akan menghakis lagi kepercayaan awam terhadap sistem keadilan kita,” kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Pada 22 Mei lalu, kira-kira 50 ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengadakan bantahan di luar ibupejabat DAP di Kuala Lumpur kerana membantah kenyataan wakil rakyat DAP Seri Delima, RSN Rayer yang dilaporkan menyebut “Umno celaka”.

Mereka diketuai Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii juga membawa kain rentang, yang antara lain berbunyi, RSN Rayer “anak haram” dan “tolol”.

Bantahan itu juga menyaksikan sebuah papan tanda besar DAP dirobohkan dan memorandum itu dilemparkan oleh Razlan kepada MP Serdang Ong Kian Ming.

Ong kemudiannya membuat laporan polis dan Razlan serta beberapa yang lain ditahan untuk memberi keterangan di bawah Akta 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.

Ong hari ini menerima jawapan bertulis dari Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan siasatan kes tersebut telahpun selesai tetapi tiada tindakan lanjut diambil oleh Pejabat Peguam Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.