KUALA LUMPUR – Semua pengilang tempatan diarah menyerahkan 20 peratus kuota padi masing-masing kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bagi menampung kekurangan bekalan beras tempatan di beberapa negeri.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas program dialog bersama pemain industri beras di Serdang semalam.
Menurut beliau, pihaknya mengakui berlaku kekurangan bekalan beras tempatan ketika ini dan kementerian sedang melakukan beberapa langkah untuk mengatasinya.
Kata beliau, pihaknya sebelum ini telah melancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah tersebut.
“Pengilang-pengiang padi telah diminta menyerahkan 20 peratus kuota padi untuk diproses oleh Bernas bagi menghasilkan beras putih tempatan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga diarahkan membantu memasarkan 20 peratus kuota beras ke lokasi-lokasi kekurangan bekalan beras putih tempatan.
“Pihak kementerian menyasarkan situasi kekurangan itu dapat diatasi dengan kadar yang segera,” lapor Utusan.
Terdahulu Mohamad menyertai Program Dialog Belanjawan 2024, Subsektor Padi dan Beras Negara di Ibu Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Menurut Mohamad, dialog itu adalah langkah kementerian mencari penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelamatkan industri padi dan beras negara.
“Sebelum ini India menyekat eksport ke atas semua jenis beras bukan basmati dari negara itu dan secara tidak langsung mengakibatkan beras putih import mendadak.
“Pemanasan global atau El Nino yang melanda seluruh dunia turut menyumbang kepada penurunan pengeluaran beras di negara-negara pengeksport beras,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad sekali lagi menegaskan kementeriannya memberi jaminan harga beras tempatan dan bekalan masih terkawal.
Menurut beliau, masyarakat tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan memastikan bekalan beras mencukupi.
“Yang pentingnya harga beras tempatan kekal dengan RM26 sekampit ataupun RM2.60 sekilo, harga beras import pula masih terkawal. Insya-Allah terkawal dan mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, berkuat kuasa semalam, individu dan peniaga hanya dibenarkan membeli maksimum 100 kilogram beras putih tempatan (BPT) bagi mengatasi gangguan bekalan didakwa berlaku.
Di Perlis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemeriksaan Op Jamin mendapati tiada stok bekalan beras tempatan di negeri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri, Norazah Jaapar berkata, menerusi operasi tersebut pihaknya mendapati hanya bekalan beras import dipasarkan kepada pengguna di Perlis ketika ini.
“Ada sebilangan premis atau kedai runcit mempunyai bekalan beras tempatan namun ia adalah stok lama,” katanya.
Menurut beliau, KPDN sentiasa memantau bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti menukar label atau bungkusan pada beras tempatan.
“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa prejudis ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730],” katanya.
Beliau berkata, bagi individu perseorangan, tindakan denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atas kesalahan berkenaan.
Katanya, tindakan denda sehingga RM250,000 juga boleh dikenakan kepada mana-mana syarikat yang membuat perihal dagangan palsu tersebut.
“Setakat ini KPDN tidak menerima kes penukaran label atau bungkusan beras tempatan di negeri ini,” katanya.