VIDEO: Lokman Terkejut Laporan Polis Kena Koyak, Mikrofon Dipatahkan

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO 2018, Lokman Noor Adam terkejut dengan tindakan pihak polis yang telah mengoyakkan laporan polis dan mematahkan mikrofon ketika perhimpunan pendedahan salah guna kuasa oleh Peguam Negara, Tommy Thomas yang diadakan di ibu kota, malam tadi.

Lokman memberitahu, keadaan bertukar menjadi rusuhan apabila pihak polis enggan memberi kerjasama dengan tidak mahu berunding dengan pihak ‘buskers’ yang secara tiba-tiba meninggikan muzik ketika beliau ingin memberikan ucapan.

Sebelum itu, beberapa individu lain telah diberikan kesempatan untuk membuat ucapan masing-masing mengenai salah guna kuasa dalam pimpinan kerajaan sekarang tanpa sebarang gangguan berlaku.

Lokman menyatakan inilah kejadian kali pertama pihak berkuasa bertindak mengoyakkan laporan polis yang telah dibuat dan mematahkan mikrofon dalam perhimpunan yang dijalankan.

“Yang dikesal, dalam keadaan terkawal, bila giliran saya, ‘PA System’ dibesarkan, tidak kembali kepada ‘sound system’ yang normal. Kalau saya tak bacakan laporan polis, semua tak dengar. Kita minta polis berunding dengan buskers tapi pihak polis tak nak.

“Pertama kali dalam hidup polis koyakkan laporan polis yang dibuat oleh saya. Dan salah seorang anggota polis, saya tak perasan siapa telah mematahkan kita punya mikrofon,” kata Lokman dalam sesi temu bual selepas rusuhan berlaku.

Lokman turut memberitahu tindakan polis dalam perhimpunan itu tidak profesional apabila ditanya sama ada pihak berkuasa ada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dirinya.

“Polis tidak profesional menjalankan tugasnya, itu sahaja yang dapat saya komen,” katanya.

Dalam perhimpunan tersebut, Lokman mendedahkan laporan polis mengenai salah guna kuasa dibuat terhadap Tommy Thomas berkaitan kes salah guna kuasa dan rasuah dalam proses pembelian sebuah banglo antara salah seorang pemimpin kerajaan, Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan terkemuka yang telah berlaku pada tahun 2015.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.