PH Kekalkan Kerusi DUN Seri Setia dan Balakong Dengan Majoriti Merosot

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menepati ramalan untuk terus kekal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong apabila memenangi kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Calon PH, Halimey Abu Bakar memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali dengan 9,698 undi.

Kemenangan Halimey dengan majoriti 4,027 undi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Beliau berkata, jumlah undian keseluruhan adalah 23,423 manakala 164 kertas undi ditolak dan peratusan keluar mengundi adalah 44.1 peratus.

Sementara itu di Bangi, calon PH Wong Siew Ki memenangi PRK DUN Balakong menewaskan calon MCA, Tan Chee Teong, dengan majoriti 18,533 undi.

Keputusan PRU14 9 Mei lalu bagi kerusi DUN Seri Setia dimenangi calon PKR dengan majoriti 19,372 undi berbanding keputusan PRK hari ini merosot kepada majoriti 4,027 undi. Sementara DUN Balakong pada PRU14 dimenangi calon DAP menggunakan logo PKR dengan majoriti 35,538 undi manakala dalam PRK ini majoriti merosot kepada 18,533 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Balakong, Datuk Rosli Othman, ketika mengumumkan keputusan itu, berkata, Siew Ki memperoleh 22,508 undi manakala Chee Teong meraih 3,975 undi dalam pertandingan satu lawan satu itu.

“Saya dengan ini mengumumkan Siew Ki dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong,” katanya dalam pengumuman di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat di sini, sebentar tadi.

Kata Rosli, peratusan jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah 43 peratus atau 26,483 orang, bilangan kertas undi yang ditolak adalah 227.

Pengumuman itu disambut sorakan gembira oleh Siew Ki dan penyokongnya yang setia menunggu di dalam dewan. Turut hadir, Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kemenangan Siew Ki itu menepati ramalan beliau mampu mempertahankan kerusi kuat DAP yang dikuasai selama dua penggal oleh mendiang, Eddie Ng Tien Chee sejak Pilihan Raya Umum Ke 12 pada 2008.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, mengumumkan peratusan pengundi yang keluar mengundi di PRK Seri Setia ialah 43 peratus dan PRK Balakong 44 peratus.

Katanya, SPR akan menyemak semula untuk mengetahui sebab penurunan jumlah pengundi yang keluar mengundi untuk kedua-dua PRK itu.

“Ada kemungkinan faktor PRU-14 yang baru saja berlangsung empat bulan lalu salah satu sebab pengundi tidak keluar mengundi selain mungkin kerana mereka beranggapan apa juga keputusan daripada kedua-dua PRK malam ini tidak mengubah senario politik semasa,” katanya. – BH

One thought on “PH Kekalkan Kerusi DUN Seri Setia dan Balakong Dengan Majoriti Merosot

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.