Nana Kena ‘Panic Attack’ Selama 8 Bulan Kerana Tertekan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, pelakon dan hos popular, Siti Nordiana Alias mengakui pernah berdepan tekanan perasaan hingga kerap diserang panik selepas kematian bekas suaminya, Allahyarham Mohd Faizal Yusof pada 2011.

Siti Nordiana atau Nana mendedahkan kehilangan ayah kepada anak tunggalnya, Mohd Rayyan Nakhaie yang ketika itu baru berusia dua setengah tahun, memberi tamparan hebat walaupun mereka sudah bercerai.

“Saya bagai hilang punca dengan ketiadaan arwah. Ini kerana tiada siapa lagi untuk saya berkongsi cerita mengenai Rayyan. Sebagai anak lelaki, tentu dia perlukan ayah untuk mendidik dan menjadi contoh kepadanya.

“Walaupun antara kami tiada apa-apa lagi ikatan, hubungan anak dan ayah tidak mungkin terputus. Lagi pun Rayyan terlalu kecil selain belum puas bermanja dengan bapanya.

“Saya jadi murung, suka menyendiri dan menangis tanpa sebab. Paling ketara saya kerap mendapat ‘panic attack’ selama hampir lapan bulan disebabkan terlalu risaukan keadaan Rayyan dan nasib kami,” katanya selepas majlis pelancaran buku biografi Life Goes On di sini, hari ini.

Nana, 34, mengaku pada suatu peringkat, dia takut tidak mampu menjaga putera kesayangannya.

“Saya takut tidak mampu membimbingnya. Namun, kawan-kawan banyak memberi sokongan.

“Mereka sentiasa cuba menemani saya bagi meredakan tekanan yang dirasai,” katanya.

Bercerita mengenai buku yang dihasilkan, Nana yang juga calon Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 31 berkata, naskhah yang membongkar naik turun kerjaya dan kehidupannya digarap sebagai pemangkin semangat wanita lain terutama ibu tunggal.

PENYANYI, Siti Nordiana bersama penerbit buku, Must Read Sdn Bhd, Abdul Kahar Abdul Hamid pada pelancaran buku beliau “Life Goes On” di MPH Bookstore, Mid Valley. – Foto Khairul Azhar Ahmad

Tambahnya, hadiah berupa buku motivasi dari seorang rakan mencetuskan ilham untuk berkongsi cerita dalam Life Goes On yang dimulakan dua tahun lalu bersama bantuan penerbit, Must Read Sdn Bhd.

“Syukur saya hanya melalui fasa tekanan dalam tempoh lapan bulan. Ramai membantu dan pantas membuatkan saya sedar serta reda menerima ketentuan. Daripada situ, saya mula berubah, berhijab dan ingin lebih dekat kepada-Nya,” katanya.

Dedah bintang Dia Semanis Honey itu lagi, selain berkongsi sisi peribadi, hampir 80 peratus pengalaman dipaparkan dalam buku berkenaan yang menjentik emosi sendiri.

Akui Nana, dia menitiskan air mata ketika menulis bab Aku Terima Nikahnya dalam buku biografi yang membawanya kembali kepada kenangan merobek jiwa.

Episod berdepan kemelut dan keruntuhan rumah tangga yang cuba dilupakan sejak bergelar ibu tunggal bagai diimbas di depan mata sebaik penulisan memasuki bab berkaitan perkahwinan.

“Saya menangis bukan sebab sedih menggalas status janda, sebaliknya lebih kepada tidak menyangka saya sekuat itu menanggung segala keperitan.

“Apa pun, saya bukan bertujuan memburukkan sesiapa kerana banyak hati perlu dijaga. Ia sebaliknya lebih kepada paparan perasaan, perkongsian semangat dan suntikan motivasi ketika berdepan ujian getir,” katanya.

Perkahwinan Nana dengan Faizal yang juga pelakon drama Yang Dimetri pada 2006, hanya mampu bertahan selama tiga tahun. Faizal meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.