Kelantan Paling Banyak Terima Bantuan Kerajaan Pusat – Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan diharap dapat menguruskan hal-ehwal kewangan negeri itu dengan lebih bertanggungjawab dan berhemah.

Malah, kerajaan negeri itu juga diminta meningkatkan hasil secara profesional dan sistematik bagi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Kelantan menjadi penerima pemberian defisit yang tertinggi dengan jumlah RM 363 juta dari tempoh 2013 hingga tahun lalu.

Kelantan telah mencatatkan defisit akaun mengurus lebih daripada lima tahun berturut-turut.

Pemberian defisit diberikan kerana hasil Kerajaan Negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi lain.

Katanya, tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, Kelantan tidak akan mampu untuk menampung bayaran emolumen kepada kakitangan kerajaan negeri.

Pada tahun 2017, hanya dua negeri yang menerima pemberian defisit iaitu Kelantan dan Perlis.

Guan Eng berkata, di samping pemberian defisit, Kerajaan Persekutuan juga memberi pendahuluan daripada Kumpulan Wang Pendahuluan iaitu tabung pusingan yang bertujuan membantu negeri-negeri mengatasi masalah aliran tunai.

Sehingga 30 Jun 2018, jumlah pendahuluan yang telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan adalah berjumlah RM550 juta, yang mana ia merupakan penerima terbesar.

Daripada jumlah tersebut, pendahuluan yang masih tertunggak dan belum dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah sebanyak RM 384 juta.

Dengan itu, Kerajaan Negeri Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913 juta.

Tambahnya, di samping itu, Kerajaan Persekutuan juga memberi pinjaman kepada Kerajaan Negeri Kelantan, yang mana mana sehingga 30 Jun 2018 baki pinjaman yang belum selesai adalah berjumlah RM1,413.3 juta dengan jumlah tunggakan sebanyak RM 434.5 juta.

Tahap tunggakan pinjaman juga menunjukkan ketidakmampuan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memenuhi dan menguruskan komitmen kewangannya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.