Hari Kepelbagaian Budaya Pupuk Perpaduan

KOTA BHARU: Kerajaan akan memperkenalkan Hari Kepelbagaian Budaya bagi memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, berkata sehingga kini ia masih di peringkat perbincangan dan dijangka dapat dilaksanakan Mac tahun depan.

“Sejak saya memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya memikirkan apa yang perlu dilakukan dan perubahan yang bakal dibawa dalam usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Justeru, saya memikirkan Hari Kepelbagaian Budaya adalah yang terbaik supaya setiap kaum mampu mengetengahkan budaya masing-masing untuk ditunjukkan kepada semua kaum.

“Sebagai contoh Tarian Asyik dan Rebana Kerching yang saya saksikan di Kelantan, mungkin ia hanya dikenali di negeri ini dan kita mahu ia dibawa untuk dilihat kepada semua supaya semua kaum dapat belajar semua budaya yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Explorasi Perpaduan Merdeka Peringkat Kelantan 2018 di Pantai Sri Tujuh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Norwahidah Zinalibdin.

Pada masa sama, Waytha Moorthy turut memuji budaya Kelantan yang mampu menyatupadukan rakyat dan patut dijadikan model kepada negeri lain.

“Kelantan budayanya memang unik, tidak kira kaum apa, mereka semua mampu bercakap dialek Kelantan dengan baik.

“Ketika saya bersarapan pagi di Kopitiam Kita pagi tadi, saya kagum melihat budaya di situ kerana pemilik restorannya adalah Cina namun 80 peratus pengunjung adalah Melayu.

“Menerusi makanan sahaja mereka berjaya menyatupadukan rakyat di Kelantan dan suasana itu jauh berbeza di negeri barat Semenanjung. Di sana, jika masuk kedai India hanya orang India sahaja dalam premis berkenaan begitu juga kedai Cina,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.