Adam Mula GP San Marino Dari Petak 14

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino dari petak ke-14 apabila mencatat masa sepusingan 1 minit 42.790 saat pada sesi kelayakan di Sirkit Misano, sebentar tadi.

Catatan dilakukan pelumba Petronas Sprinta Racing itu adalah yang terbaik baginya sejak mula menyertai kancah Moto3 di litar sepanjang 4.2 kilometer (km) berkenaan pada tahun 2016.

“Sudah tentu saya gembira,” kata Adam yang kini menduduki tangga ke-21 dengan 24 mata dalam kedudukan keseluruhan setakat 12 pusingan musim ini.

“Ini catatan sepusingan terbaik saya di sini. Saya memang meletak sasaran melakukan 42 saat dan saya melakukannya. Cerita yang sama dalam Moto3, semua pelumba berusaha sebaik mungkin di pusingan terakhir.

“Saya gembira, biarpun akan bermula dari petak ke-15 namun ia tidak begitu teruk. Sudah pasti perlumbaan esok akan menjadi sengit tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik.”

Berada di barisan kelima bersama Adam esok adalah Albert Arenas dari pasukan Angel Nieto Team Moto3 (petak 13) dan Niccolò Antonelli (SIC58 Squadra Corse), petak 15.

Pelumba Sepanyol, Jorge Martin meraih petak pertama keenamnya bagi musim ini apabila mencatat masa sepusingan terpantas, 1’41.823s.

Gabriel Rodrigo yang mewakili pasukan RBA BOE Skull Rider menyambar petak kedua dengan catatan masa yang dibezakan 0.311s di belakang Martin manakala Aron Canet (Estrella Galicia 0,0) ketiga, 1’42.270s. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.