Video: Pemandu Wanita Guna Pengunci Stering Gertak Penguatkuasa MPAJ

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berang apabila tayar keretanya dikunci penguatkuasa trafik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, wanita terbabit mengherdik penguatkuasa terbabit dengan suara yang tinggi hingga menyebabkan orang ramai yang berada di sekeliling tertarik untuk menyaksikan gelagatnya.

Berdasarkan video yang tular, wanita berbangsa Cina itu turut menjadikan kunci stering dipercayai sebagai senjata untuk “menggertak” penguatkuasa berkenaan yang dilihat hanya bertangan kosong.

Menerusi perbualan dalam video itu, penguatkuasa berkenaan mengunci roda kereta wanita terbabit kerana kesalahan meletak kenderaan ditempat yang salah.

Wanita terbabit memberikan alasan bahawa dia meletakkan kenderaannya di tempat tersebut ekoran di kawasan itu tidak ada petak kosong untuk dia memakir kenderaannya.

Dia juga memberitahu kepada penguatkuasa itu bahawa dia tergesa-gesa membeli makanan untuk seseorang yang kelainan upaya (OKU).

Penguatkuasa berkenaan mengambil langkah profesional apabila dilihat tidak bersikap kasar sebaliknya, hanya meminta agar dia menggunakan percakapan yang elok apabila bercakap dengannya.

Wanita itu bagaimanapun akhirnya mengakui kesilapan yang dilakukan setelah penguatkuasa berkenaan menjelaskan penyebab roda keretanya dikunci.

“Tak salah, you beli makanan tak salah, you parking kereta salah,” kata penguatkuasa berkenaan.

Wanita itu yang tidak dapat untuk menegakkan benang yang basah gara-gara kesalahan yang dilakukan menukar pula alasannya apabila mengaitkan OKU tidak mempunyai masa untuk mencari tempat letak kereta.

Penguatkuasa berkenaan telah menjadikan alasan wanita terbabit dengan mempersoalkannya kembali sama ada dia seorang yang OKU atau sebaliknya.

Namun, lokasi serta tarikh kejadian tidak diketahui – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.