Tiada Arahan Henti Forex Dari Mahathir Walaupun BNM Rugi – Anwar

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bahawa bekas Penasihat bank pusat itu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak memberikan maklumat terperinci mengenai transaksi urus niaga mata wang asing pada awal 1990-an.

Anwar, saksi ke-21, berkata Nor Mohamed bertindak melebihi mandat yang diberikan dan tidak memberikan laporan yang benar mengenai urus niaga mata wang asing itu kepadanya dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein telah berjumpanya dan memberikan penjelasan kepadanya mengapa beliau (Jaffar) bersetuju Nor Mohamed meletakkan jawatannya berikutan kerugian urus niaga mata wang asing tersebut.

“Saya kata kalau dia (Nor Mohamed) tidak letak jawatan, saya suruh dia dipecat,” kata Anwar ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Julia Ibrahim. Nor Mohamed meletak jawatan sebagai penasihat BNM pada April 1994.

Semalam Nor Mohamed dalam keterangannya berkata semua urus niaga forex dilaksanakan oleh “Chief Dealer dan Dealers” serta apa yang mereka buat atas arahannya.
​​​​​​​
Anwar juga memberitahu suruhanjaya bahawa beliau dan Dr. Mahathir mengetahui mengenai kerugian itu, bagaimanapun bekas perdana menteri itu tidak memberikan sebarang arahan mengenai perkara itu.

Kata Anwar, beliau bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Clifford Francis Herbet telah berjumpa dengan Dr. Mahathir untuk membincangkan mengenai kerugian itu, bagaimanapun Dr. Mahathir hanya mendengar laporan daripada mereka tanpa memberikan sebarang arahan.

Katanya beliau tahu mengenai kerugian itu melalui Jaffar ketika beliau bertanyakan kepadanya mengenai aktiviti urus niaga matawang asing BNM iaitu sebelum Laporan Kewangan Tahunan 1992 dibentangkan pada Mac 1993.

“Semua Laporan Kewangan Tahunan BNM memang dibentangkan, tetapi ia tidak dipandang serius ketika itu kerana semua tahu mengenai Plaza Accord dan persepsi umum yang menyalahkan pada keadaan antarabangsa dan George Soros,” katanya.

Ditanya berulang kali oleh pengerusi RCI, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang juga Pengerusi Petronas, sama ada beliau (Anwar) bertindak menyembunyikan jumlah kerugian sebenar BNM kepada Kabinet, Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
​​​​​​​
Suasana menjadi agak tegang selepas Mohd. Sidek berulang kali bertanyakan kepada Anwar soalan sama di mana Anwar dan Mohd. Sidek masing-masing saling jawab menjawab mengenai perkara itu.

Mohd Sidek: Pada 6 April 1994 kerugian yang dimaklumkan kepada kabinet hanya RM5.7 bilion dan bukan kerugian sebenar RM15.291 bilion pada tahun 1992.

Anwar: Surat dari Ketua Audit Negara tertakluk kepada rundingan dengan BNM. Saya hanya bawa kepada kabinet keputusan perbincangan. Rekod menyatakan RM5.7 bilion, jadi kita tekan RM5.7 bilion.

Anwar memberikan keterangan secara soal jawab di hadapan panel suruhanjaya itu. Sebelum ini semua saksi mengemukakan keterangan melalui pernyataan saksi sebelum disoal oleh panel RCI, pegawai pengendali dan peguam.

Terdahulu Dr. Mahathir hadir pada prosiding itu pada pukul 2.15 petang semasa Anwar memberikan keterangannya. Beliau meninggalkan mahkamah pada 4.15 petang.

Prosiding di hadapan Mohd. Sidek bersama empat lagi anggota suruhanjaya itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan, bersambung 18 September. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.