Jamil: Bekerjasama Dengan Pihak Berkuasa Cegah Berulang ‘Big Gay Iftar’

Putrajaya menggesa semua pihak untuk bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan supaya tidak berulang lagi program berbuka puasa “big gay iftar”, yang mencetuskan banyak kontroversi tiga bulan yang lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata,sebagai langkah untuk mengurangkan penularan budaya yang tidak sihat, semua pihak perlu bekerjasama dengan pihak penguatkuasa.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di parlimen kepada soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut), yang bertanya pendirian kerajaan terhadap penganjuran program ‘big gay iftar’ dan tindakan yang akan diambil terhadap NGO-NGO yang terlibat dalam program tersebut.

“Berkenaan isu program ‘big gay iftar’ tersebut, Sohibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri) menegaskan bahawa tidak boleh dicampur-adukkan perkara yang baik seperti berbuka puasa dengan perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam seperti amalan gay.

“Kerajaan memandang serius fenomena amalam lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada menular dalam kalangan masyarakat, terutama masyarakat Islam,” kata Jamil.

Beliau memetik beberapa peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membabitkan kesalahan pelacuran, ‘ibu ayam’ atau ‘bapa ayam’, persetubuhan luar nikah, kesalahan liwat, lesbian, lelaki berlagak seperti perempuan atas tujuan tidak bermoral dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Program oleh Pelangi Campaign itu telah dianjurkan pada 8 Jun di Bangsar. Ia juga diadakan untuk mengingati 49 orang dari komuniti LGBT yang terbunuh dalam kejadian tembakan di kelab malam di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada 12 Jun 2016.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.