APMM Tumpas 10 Lanun Cuba Rompak Kapal Tangki

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur menumpaskan 10 orang lanun yang cuba merompak Kapal MT MGT1 dalam operasi ‘Sailang’ lebih kurang tiga batu nautika dari timur Pulau Yu Besar pukul 2.05 pagi semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata susulan penangkapan itu, seorang lelaki dipercayai dalang rompakan tersebut ditahan di sebuah hotel di Johor Bahru.

“Kejayaan itu sekali gus menyelamatkan kira-kira 2.2 juta liter minyak diesel bernilai hampir RM7 juta yang dibawa kapal dagang MT MGT 1 dari Thailand itu dengan 14 kru daripada dirompak oleh lanun berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata Wilayah Maritim Timur menerima maklumat dari sistem identifikasi auto (AIS) mengenai kehilangan sebuah kapal dagang Thailand pada pukul 5 petang kelmarin.

“Sejurus itu kami menggerakan seramai tujuh orang anggota pasukan tindakan khas (PTK) ke lokasi terakhir kapal dikesan menggunakan helikopter Agusta Westland 139 (AW139),” katanya.

Turut hadir Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Mamu Said Alee dan Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli.

Tambah beliau, kapal itu dilarikan dan dikesan pukul 2.05 pagi di 37 batu nautika timur laut Pulau Tenggol, Dungun.

“Berdasarkan risikan didapati bot pancung yang dinaiki tiga orang suspek yang berjaya melarikan diri serta sebuah lagi kapal tanpa identiti berhampiran kapal dagang berkenaan.

“Seramai 10 suspek berada dalam kapal dagang berkenaan sebelum beberapa das tembakan amaran dilepaskan dari udara sebelum anggota PTK turun dari helikopter untuk melakukan serbuan,” katanya.

Tambah Zulkifli, pemeriksaan mendapati lanun berkenaan sudah memindahkan sebahagian diesel daripada MT MGT1 ke kapal mereka dan kini pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Segantang untuk menjalankan operasi mengesan bot pancung dinaiki tiga lanun tersebut yang dipercayai masih berada di perairan negara.

Katanya, kesemua suspek akan direman mulai hari ini bagi membantu siasatan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.