‘Anak Trump Jumpa Peguam Rusia Berkaitan Maklumat Mengenai Hillary’

Anak lelaki sulung Presiden Donald Trump memberitahu penyiasat Senat pada hari Khamis bahawa dia telah mengatur untuk mengadakan satu pertemuan pada 2016 dengan seorang peguam Rusia kerana dia mungkin mempunyai maklumat yang negatif mengenai calon presiden Demokrat, Hillary Clinton.

Donald Trump Jr, dalam satu kenyataan kepada penyiasat Jawatankuasa Kehakiman Senat dalam satu perjumpaan tertutup, berkata adalah penting untuk mengetahui tentang “kecergasan” Clinton untuk menjadi presiden.

“Setakat mana mereka mempunyai maklumat mengenai kecergasan, watak atau kelayakan calon presiden, saya percaya, sekurang-kurangnya saya harus mendengarnya,” kata kenyataan itu, yang dilihat oleh Reuters.

Trump juga berkata pertemuan dengan peguam Rusia Natalia Veselnitskaya dan yang lain di Trump Tower di New York tidak memberi sebarang maklumat yang bermakna.

The New York Times yang pertama melaporkan kenyataan itu.

Agensi-agensi perisikan AS telah membuat kesimpulan bahawa Moscow bekerjasama menyokong Trump dalam pilihan raya presiden pada tahun 2016. Beberapa jawatankuasa kongres dan peguam khas juga menyiasat tuduhan tentang kemungkinan wujud pakatan sulit antara kempen Trump dan Moscow.

Keterangan anak lelaki Trump itu dipercayai yang pertama oleh ahli keluarga presiden kepada penyiasat kongres, yang kebanyakannya dijalankan secara tertutup.

Moscow dan Trump masing-masing menafikan ada campur tangan atau wujud pakatan sulit yang didakwa itu.

Penyiasat Kongres telah memberi tumpuan kepada pertemuan 9 Jun 2016, dan apa yang berlaku, jika ada, dari segi hubungan antara Rusia dan kempen Trump atau kepentingan perniagaan Trump.

Menantu Trump, Jared Kushner, kini penasihat kanan Rumah Putih, dan bekas pengerusi kempen Paul Manafort turut menghadiri pertemuan di Trump Tower itu.

Sementara itu, Trump Jr disoal oleh anggota Jawatankuasa Kehakiman selama lima jam. Dia beredar tanpa bercakap dengan media, dan pintu bilik mesyuarat dilindungi oleh pemidang khas yang menghalang jurugambar untuk merakam ketibaannya dan ketika dia beredar dari situ.

Sebilangan besar senator Demokrat menghadiri sesi itu tetapi sesi soalan hanya terhad kepada kakitangan. Sesi itu tidak diklasifikasi sebagai sulit dan Trump Jr juga tidak memberi keterangan secara bersumpah. Bagaimanapun, adalah menyalahi undang-undang untuk memberikan maklumat palsu kepada Kongres.

Senator Demokrat Richard Blumenthal menggambarkan suasana di dalam bilik sebagai “mesra.” Katanya keterangan itu jelas menunjukkan terdapat lebih banyak lagi yang akan diperolehi.

“Memang ada banyak ruang dibuka untuk keterangan saksi lain pada masa depan,” katanya kepada pemberita.

Blumenthal juga berkata beliau menjangka Trump Jr akan memberi keterangan secara bersumpah kemudian di pendengaran umum Jawatankuasa Kehakiman.

Wakil Demokrat, Adam Schiff berkata panelnya berharap banyak lagi soalan akan dijawab apabila dia muncul di hadapan jawatankuasa berkenaan-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.