5 Bekas Presiden AS Gabung Kumpul Dana Harvey

HOUSTON – Lima bekas presiden Amerika Syarikat semalam bergabung untuk mengumpul dana buat mangsa Taufan Harvey, bertujuan untuk membantu membina semula sebahagian daripada beribu-ribu rumah dan perniagaan yang musnah dari Texas hingga ke Louisiana.

Menurut Reuters, Kumpulan bekas presiden AS itu akan melancarkan ‘One America Appeal,’ dan mula merayu sumbangan dana pada siaran pembukaan musim Liga Bola Sepak Nasional malam semalam, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, lapor Bh.

Bekas presiden itu terdiri daripada Barack Obama, George W. Bush, Bill Clinton, George H.W Bush dan Jimmy Carter.

Dana yang dikutip menerusi tabung rayuan itu akan diagihkan kepada Dana Bantuan Harvey Houston, yang memberi tumpuan kepada wilayah Houston yang lebih besar dan Dana Membangunkan semula Texas, yang akan membantu komuniti di seluruh negeri itu.

Sehingga semalam, Dana Membangunkan semula Texas sudah menerima ikrar mencecah kira-kira AS$44 juta (RM184.5 juta), menurut laman webnya.

Harvey, yang mula membadai 25 Ogos lalu dan menjadi taufan paling kuat pernah melanda Texas dalam tempoh 50 tahun. Ia mengorbankan lebih daripada 60 orang, memaksa lebih daripada sejuta orang berpindah dan memusnahkan kira-kira 203,000 kediaman dengan jumlah kerosakan dianggarkan mencecah AS$180 bilion (RM755 bilion).

Taufan Harvey turut mendorong selebriti terkenal termasuk penyanyi Beyonce, pemain bola sepak Houston Texans J.J. Watt dan pelakon Sandra Bullock untuk mendermakan wang bagi membantu mangsa.

Semua lima bekas presiden itu berkata, mereka bersedia untuk memperluaskan lagi usaha untuk membantu mangsa yang berdepan Taufan Irma, yang kini menuju Florida selepas menghancurkan beberapa pulau di Caribbean

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.