Tolak Hudud: Mujahid Dianggap Biadap, Beri Penjelasan Pada Mufti

KUALA LUMPUR: Saranan Mufti Wilayah Persekutuan (WP) baru-baru ini supaya umat Islam menyokong rang undang-undang (RUU) memperkasakan Mahkamah Syariah adalah semata-mata membolehkan topik itu dibincangkan di peringkat awam, kata Pejabat Mufti WP.

 

Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Mufti WP, Umar Mokhtar Mohd Noor berkata Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui penulisannya baru-baru ini mahu isu RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016, atau dikenali RUU 355, dibincangkan oleh semua lapisan masyarakat.

 

“Mufti ingin cetuskan perbincangan awam, termasuk oleh bukan Islam. Bila disebut tentang mereka yang ahli, termasuklah merujuk kepada pakar undang-undang,” kata Umar ketika menerima kunjungan delegasi Amanah di pejabatnya hari ini.

 

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa sebelum ini menegur kenyataan Zulkifli yang menganggap menjadi kewajipan semua wakil rakyat beragama Islam menyokong usul yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mei lalu.

 

Dalam penulisan setebal 52 muka surat, Zulkifli memberikan 3 alasan wakil rakyat beragama Islam dan 8 alasan untuk mereka yang bukan Islam menyokong pindaan berkenaan.

 

“Menyokong usaha RUU pindaan Akta 355 ini juga adalah interpretasi kepada dua prinsip dalam Rukun Negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

 

Bagaimanapun, Mujahid berkata penaja RUU 355 masih gagal memperincikan dan memberikan maklumat lanjut mengenai pindaan itu.

 

Teguran Mujahid itu mengundang kecaman Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Dewan Ulama PAS, yang menyerang bekas pemimpin PAS itu sebagai “biadap”.

 

Dalam pertemuan hari ini, Umar berkata apa yang mufti WP harapkan ialah usul itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum menolaknya.

 

Sementara Mujahid bersetuju RUU 355 dibincang, beliau mempersoalkan rumusan artikel itu yang mewajibkan umat Islam menyokong usul itu.

 

“Saya tidak boleh kawal cara ia dilaporkan. Namun semangat (hujah) tetap sama, iaitu tidak setuju dengan gesaan ia wajib disokong tanpa ia diperinci dan dibahaskan.

 

“Kami khuatir kenyataan itu akan digunakan mereka yang beremosi dalam isi ini dan menimbulkan salah faham sehingga memberi tekanan kepada kami (wakil rakyat beragama Islam),” kata ahli Parlimen Parit Buntar itu.

 

Sementara itu, Dr Zulqarnain Lukman dari Biro Undang-undang Amanah berkata antara kelemahan RUU 355 adalah ia tidak menjelaskan secara terperinci soal peningkatan hukuman.

 

“Kena jelas, sama ada hukuman penjara ingin dinaikkan kepada 6 tahun misalnya.

 

“Jika diluluskan begitu sahaja, ia akan bawa implikasi besar. Ini kerana hukuman boleh tetapkan apa sahaja hukuman kecuali hukuman mati. Ini umpama memberikan cek kosong,” katanya.

 

Manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin menggesa Hadi sendiri menjelaskan secara terperinci RUU 355.

 

Hadi merangkap ahli Parlimen Marang membentangkan usul itu pada 26 Mei lalu, namun perbahasannya ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

 

“Memandangkan beliau yang membawa usul itu, maka kami gembira jika beliau sendiri dapat memberi penjelasan terperinci, terutama kepada golongan muda agar tidak terus terheret dengan emosi,” katanya lagi.

 

RUU itu membolehkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman melebihi apa yang dihadkan sebelumnya iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan 6 sebatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.