Persatuan Peguam Muslim Setuju Pindaan Akta 355 Perkasakan Mahkamah Syariah

SHAH ALAM – Persatuan Peguam Muslim Malaysia hari ini bersetuju dengan langkah meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau Akta 355 yang dibawa oleh PAS.

 

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pindaan itu perlu bagi memperkasakan Mahkamah Syariah di segi meningkatkan hukuman, denda dan sebatan oleh Mahkamah Syariah ke atas pesalah.

 

“Bagi saya Akta 355 itu sudah lama perlu dipinda. Ia digubal pada tahun 1965 di mana hukuman yang boleh dikenakan enam bulan penjara atau RM1,000 denda atau kedua-duanya sekali.

 

“Kemudian dipinda pada tahun 1984, yang mana hukuman maksimum adalah tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan. Tahun 1988 dipinda kuasa tersebut diperluaskan kepada Sabah dan Sarawak. 32 tahun sudah tapi tidak dipinda, jadi saya rasa sudah sampai masanya untuk dipinda,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos.

 

Oleh yang demikian, pihak persatuan bersetuju dengan usaha ke arah pindaan itu dilakukan dan disokong sepenuhnya, tambahnya.

 

Pada sesi Dewan Rakyat lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membawa usul pindaan Akta 355 walaupun perbahasannya ditangguhkan.

 

Pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan, semua ahli parlimen berpeluang untuk membahaskan usul berkenaan sebelum undi menerima atau menolak pindaan akta itu boleh dibuat.

 

“Terdapat beberapa kategori golongan yang menentang, pertama yang tidak faham dan mereka fikir kalau pindaan Akta 355 hari ini diluluskan esok akan dikenakan hukuman potong tangan sebenarnya tidak betul begitu. Ada perkara lain yang perlu kita lihat dalam bidang kuasa dan sebagainya.

 

“Golongan kedua mungkin faham tetapi ingin menjadi juara dalam isu tertentu. Jadi dua golongan itu perlu ditemui dengan situasi yang berbeza,” kata Zainul.

 

Justeru, sudah tiba masanya bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasakan supaya lebih luas dan mantap sejajar dengan perkembangan kes-kes membabitkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah di negara ini.

 

“Mahkamah yang paling rendah iaitu Mahkamah Masjitret mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah.

 

“Jadi nampaklah betapa bezanya bidang kuasa tersebut lagipun sudah 32 tahun pindaan tersebut tidak dilakukan, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) ini mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah, malah mahkamah syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali,” ujarnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.