Pemain Bola Sepak Negara Sukar Diubah, Tiada Harapan

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh mengharapkan pemain sedia ada untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan kerana mereka bermain berdasarkan cara dilatih, kata Pengarah Kanan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar.

 

“Pemain yang ada sekarang ini tidak mampu membawa banyak perubahan, sudah tidak boleh diubah lagi, suka atau tidak suka, kita tidak boleh tengok pemain yang ada sekarang mempamerkan kualiti sebab bagaimana mereka dilatih, begitulah mereka main,” katanya kepada sebuah portal.

 

Sehubungan itu, beliau menyeru pengkritik sukan dan cendekiawan membantu mencari penyelesaian untuk memperbaiki kualiti bola sepak tempatan, bukannya menyalahkan pemain atau jurulatih atas kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

 

“Zaman kita tunding jari, salahkan pemain, salahkan jurulatih itu sudah berlalu. Isu itu orang dah cakap 10 tahun lalu, sekarang ini mereka yang berilmu perlu mencari penyelesaian dan pendekatan baharu untuk memulihkan kembali kualiti pasukan negara.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengritik sukan, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim membidas kualiti pemain bola sepak tempatan masih jauh ketinggalan dan pihak pengurusan gagal memberi persediaan kepada pemain sehingga menyebabkan mereka bermain seolah-olah tidak menggunakan otak.

 

Safirul Azli turut menggesa pihak bertanggungjawab kembali memfokuskan pembangunan bola sepak dengan mengadakan program melatih pelapis dan pemain muda secara berstruktur.

 

“Sekarang kita kena fokus kepada pemain muda bermula dari umur 6 hingga 7 tahun, kerana itu sahaja pilihan terbaik untuk pembangunan bola pada masa akan datang,” katanya.

 

Cadangan Safirul Azli itu turut disokong bekas ketua jurulatih negara, B Sathianathan yang berkata, pemain sedia ada tidak boleh diharapkan untuk mengubah prestasi skuad negara, sebaliknya ia memerlukan ‘tonik’ baharu seperti NFDP.

 

“Saya nampak dalam masa 6, 7 tahun lagi, generasi ini akan jadi pemain yang bagus kerana pendedahan yang diberikan mampu menjadikan mereka nadi kepada pembangunan bola sepak negara. Kalau kita nak pemain seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan, S Kunalan untuk digantikan, kena ambil masa.

 

“Bagaimanapun, program NFDP saya nampak ia mampu bertahan dalam tempoh 30 hingga 40 tahun sahaja. Untuk memastikan kita kekal maju, kena adakan (pihak lain anjurkan) program pembangunan lain juga, tidak boleh harapkan NFDP sahaja untuk pastikan pemain negara kita sentiasa berkualiti,” katanya ketika dihubungi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.