Ibu Mengaku Curi Barang Mainan Untuk Anak

GEORGE TOWN – Seorang ibu muda dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM2,000 atas tuduhan mencuri barang mainan untuk anaknya, lapor The Star.

 

Rozita Mohamad Nor, 29, mengaku bersalah mencuri barangan bernilai RM560 termasuk sebungkus bateri, kereta mainan, pengecas tanpa wayar, helikopter kawalan jauh dan bateri kereta mainan.

 

Dia melakukan kesalahan itu pada 4 Sept di Tesco Tanjung Pinang.

 

Lapor akhbar itu, ibu kepada 4 orang anak mengaku bersalah atas tuduhan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

 

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Zhamaliah Mohd Ismail meminta mahkamah supaya mengurangkan hukuman Rozita selepas mengakui dia berbuat demikian ekoran anaknya menangis dan mendesak mahukan permainan itu.

 

Majistret L. Umma Devi yang menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh menasihatkan Rozita supaya tidak mengulangi kesalahan itu dan menjadi contoh yang baik kepada anak-anaknya.

 

“Walaupun anda tidak mampu membelinya, ia tidak bermakna anda boleh mengambil jalan pintas,” kata majistret.

 

Rozita diperintahkan menjalani hukuman beliau bermula tarikh 5 Sept.

 

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Rozita akan membayar denda atau menjalani hukuman penjara tambahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.