Guru Minta Maaf Sebar Fitnah Makanan Tidak Berkhasiat Di Sekolah

PASIR MAS – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah yang mendakwa menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chicha Tinggi, di sini, tidak berkhasiat dan berkualiti, Isnin lalu hingga menjadi viral, tampil memohon maaf di laman sosial Facebook, semalam.

 

Menerusi tulisannya itu, guru berkenaan berkata, dengan penuh insaf dan rendah hati dia memohon maaf kepada semua pihak di atas laporan penulisan bergambar berhubung RMT di sekolah berkenaan.

 

“Setelah diteliti, saya dapati maklumat itu tidak tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar (penyediaan RMT).

 

“Justeru, saya memohon maaf secara terbuka kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas serta semua pihak.

 

“Selain itu, saya juga minta maaf kepada pengusaha kantin sekolah, pentadbir, guru dan kakitangan SK Chicha Tinggi,” katanya di sini, semalam.

 

Katanya, dengan itu, dia menarik balik isu berkenaan daripada laman sesawang.

 

Dia mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD Pasir Mas yang menjelaskan kedudukan sebenar di media.

 

Sebelum ini, guru berkenaan menyiarkan gambar menu RMT dengan menulis ‘sesudip nasi separuh sosej’ yang menggambarkan menu RMT untuk murid miskin dan menyebabkan tiada sambutan murid untuk menikmati hidangan percuma itu.

 

Tindakan guru itu menyebabkan gambar berkenaan menjadi viral dan hampir keseluruhan mengutuk pihak sekolah dan kantin kerana tidak prihatin.

 

Harian Metro semalam melaporkan, Pengarah JPN Datuk Ab Aziz Abdullah menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan gambar yang disiarkan itu dirakam ketika proses penyediaan hidangan dan bukannya menu sebenar.

 

Katanya, menu sebenar yang disediakan pengurusan sekolah ialah nasi goreng Cina, daging, tembikai dan minuman Milo serta tambahan sosej untuk menarik minat murid. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.