Wan Azizah Terguris Dengan ‘Serangan’ Hadi Awang

Kuala Lumpur – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui beliau sedikit terguris dengan kritikan dan “serangan peribadi” yang dibuat presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau tidak marah dan menganggap komen bahawa beliau “tidak berkelayakan” menjadi menteri besar, sebagai teguran dan meminta ahli partinya tidak membuat sebarang kenyataan balas.

“Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

“Walau bagaimana pun, tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri Insya-Allah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, dalam satu ceramah Hadi dinaikkan di Youtube menyatakan Azizah bukan pemimpin yang kuat serta tidak mempunyai kebolehan untuk berdebat soalan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Hadi turut menyatakan beliau menolak Azizah bukan kerana ada kaitan dengan jantina sebaliknya seorang menteri besar perlu mempunyai kriteria tertentu yang tidak dipenuhi Azizah.

Wanita dan Pemuda PKR serta DAP kemudiannya mempertahankan Wan Azizah dan menempelak Hadi yang didakwa turut telah gagal dan tidak berkesan dalam Parlimen serta menjadi menteri besar Terengganu hanya sepenggal.

Bagaimanapun Wan Azizah berterima kasih dan mendoakan agar Hadi dipanjang umur serta mahu tiada lagi sebarang kenyataan menyelar Hadi dibuat oleh sesiapapun.

“Oleh itu, saya menasihati semua supaya tiada lagi sebarang kenyataan balas dibuat berhubung kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

“Fokus kita sewajarnya bersatu membela rakyat dari pelbagai tindakan Umno-Barisan Nasional yang menekan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.