BSH RM300 Sebulan Untuk Veteran Tak Berpencen Bantu Ringankan Beban

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun, membuktikan usaha kerajaan untuk menghargai jasa dan pengorbanan wira negara yang pernah berkhidmat kepada tanah air.

Di PAHANG, bekas tentera, Mohd Zailani Atan, 63, berkata bantuan itu walaupun tidak banyak pada pandangan segelintir pihak, jumlah itu besar nilainya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap khususnya dalam keadaan ekonomi masa kini.

Beliau yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 13 tahun bermula 1980 mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan dengan keputusan itu dan berharap pemberian BSH diteruskan kerana ada antara mereka tidak menerima sebarang bantuan lain.

“Kebanyakan kami bekerja sendiri dan tidak semuanya senang … ada kerja ada pendapatan dan begitu sebaliknya. Saya sendiri masih ada anak yang bersekolah, jadi setiap wang ringgit itu memang bernilai untuk kelangsungan hidup setiap bulan,” katanya kepada Bernama hari ini.

A. Halim Hassan, 64, yang berkhidmat dengan TUDM dari 1981 hingga 1997 pula berkata inisiatif ini juga dapat meringankan beban sesetengah kenalannya yang tidak berpencen dan masih bekerja sendiri pada usia tua, bergantung kepada simpanan atau bantuan anak-anak untuk meneruskan kehidupan.

“Bagaimanapun, tidak semua bernasib baik dapat menumpang (bantuan) anak-anak kerana mereka juga sudah besar dan punya komitmen sendiri. Sekurang-kurangnya jika diberikan bantuan kewangan setiap bulan dapat juga diringankan beban membeli barangan dapur.

“Tambahan pula, berapa ramai daripada kami yang dapat merasa umur 80 tahun untuk layak menerima bantuan itu? BSH juga boleh dilihat sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan kami sebagai tentera walaupun tempohnya tidak selama rakan lain,” katanya yang kini menetap di Jalan Gambang di Kuantan.

Sementara itu, di KEDAH, Abu Hassan Othman, 63, dari Merbok, Sungai Petani yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata pemanjangan BSH itu sedikit sebanyak semestinya membantu menampung kos sara hidup golongan veteran tidak berpencen sepertinya.

“Kalau boleh, saya harap bantuan ini dapat dinaikan antara RM400 hingga RM500 tetapi RM300 ini pun saya bersyukur, setidak-tidaknya ada juga bantuan kepada kami golongan veteran,” katanya.

Abu Hassan yang mula berkhidmat pada 1980 itu berkata beliau tidak dapat bekerja kerana perlu memberikan perhatian penuh kepada isterinya, Norliza Hassan, 57, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lepas.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada Isnin memaklumkan BSH sebanyak RM300 sebulan akan dipanjangkan bagi Veteran Tidak Berpencen pada umur 60 tahun berbanding sebelum ini yang hanya dinikmati pada umur 80 tahun, berkuat kuasa September ini.

Cadangan itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Sementara itu, perbincangan mengenai penambahbaikan dan kebajikan anggota penjawat awam terutamanya status kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu dalam mendepani kenaikan kos sara hidup.

Di JOHOR, Mohd Azrin Safwan Mat Ali, 36, yang menyokong penuh usaha kerajaan untuk menilai semula skim berkenaan bagi memastikan upah, gaji dan elaun setiap penjawat awam seiring dengan peredaran ekonomi semasa, berkata perkara itu wajar dipertimbangkan memandangkan kos sara hidup kini semakin tinggi.

“Inisiatif ini dilihat tepat pada masanya bagi memastikan gaji atau elaun setimpal dengan tanggungjawab seiring dengan peningkatan kos sara hidup termasuk kenaikan harga barangan keperluan,” katanya yang berkhidmat sebagai guru itu.

Jururawat Marlia Abu Bakar, 33, pula menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai penghargaan kerajaan atas komitmen penjawat awam dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan itu.

“Langkah ini secara tidak langsung menyuntik semangat kita untuk memberikan yang terbaik dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, sebagai antara petugas barisan hadapan,” katanya.

Seorang guru, Nurhidayah Mohamad, 38, berkata pengumuman itu merupakan berita gembira buat warga pendidik khususnya yang berdepan tugas semakin mencabar dalam membentuk kemenjadian murid terutama pasca-COVID-19.

Kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam itu akan merangkumi aspek perkhidmatan penjawat awam secara keseluruhan meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

Kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan adalah pada 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak 2013. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat