Penerbit Gadis Jolobu saman YouTuber

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi adat sesebuah filem dikritik, malah naskhah epik bertaraf mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan juga tidak terkecuali menjadi mangsa hentaman.

Hakikatnya, setiap penonton mempunyai cita rasa dan pandangan berbeza, namun kritikan seharusnya berlandaskan fakta dan ilmu perfileman, bukannya sengaja menjatuhkan imej serta kredibiliti seseorang pengkarya.

Mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada Khamis lalu, filem bergenre komedi, Gadis Jolobu The Movie yang mengetengahkan dialek Negeri Sembilan turut terheret dengan kritikan seorang YouTuber yang membuat ulasan filem.

Memuat naik komen mengundang kecaman dalam laman sosial, YouTuber itu menyifatkan filem Gadis Jolobu arahan CL Hor sebuah karya ‘infinity shit’.

Gadis Jolobu, projek filem mega dimeterai syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu, Ahirine Ahirudin.

Terguris kritikan menjatuhkan imej filem, Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi berkata, dia sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap YouTuber itu.

“Saya tidak tahu siapa YouTuber ini? Adakah mempunyai kelayakan mengkritik filem?

“Kalau YouTuber ini pengkritik filem berkelayakan dan ada ilmu perfileman, saya mungkin boleh mempertimbangkan kritikan diberikan.

“Tetapi, lontaran bahasanya bukan cerdik pandai seperti pengkritik filem. Jadi, saya dan CL Hor juga mempunyai hak mempertahankan maruah dan karya dihasilkan.

“Saya sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman. Tunggu surat saman akan sampai, tidak lama lagi,” katanya kepada BH Online.

 

Terguris kritikan menjatuhkan imej filem, Saraleana sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber.
Terguris kritikan menjatuhkan imej filem, Saraleana sudah berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang YouTuber.

 

Saraleana berkata, dia sedar kemunculan platform media sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram membolehkan sesiapa sahaja membuat ulasan filem, sekali gus menjadi pengkritik filem.

“Seharusnya, kritikan diberikan menggunakan bahasa yang sesuai mengikut etika agar tidak menyinggung perasaan sesiapa, terutama penerbit yang mengeluarkan bajet berjuta-juta untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Saya mungkin penerbit baharu, tetapi saya tidak terasa disebabkan mempunyai sokongan kuat. Cuma, saya risaukan penerbit baharu yang mungkin tiada sokongan seperti saya.

“Saya percaya pasti ada yang luntur semangat apabila filem menjadi mangsa kritikan. Adakah YouTuber ini layak memberi kritikan filem dengan bahasa tidak beradab seperti ini?

“Caranya salah kerana apa yang ditulis adalah fitnah. Nak kritik biarlah ada ilmu filem, bukan berdasarkan serangan peribadi,” katanya.

Saraleana berkata, penggunaan bahasa kurang adab bagi menarik perhatian bukanlah cara baik. Ramai YouTuber turut menjadi pengkritik filem, tetapi secara profesional.

Namun, Saraleana berkata, dia optimis selepas menerima komen positif daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang mencemar duli menghadiri tayangan filem Gadis Jolobu bersama barisan pelakon di GSC Pall Mall, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. Ia turut dihadiri kerabat diraja lain.

“Saya kelakar ulasan YouTuber ini, sedangkan kami tidak menerima komen negatif daripada Tuanku Muhriz dan kerabat diraja lain.

“Tidak hanya itu, majlis tayangan turut dihadiri ratusan penonton dari Negeri Sembilan. Selepas menonton, tidak pula saya menerima komen filem Gadis Jolobu membawa imej buruk, mengandungi adegan lucah dan sebagainya.

“Malah, anakanda Tuanku Muhriz iaitu Tunku Zain Al Abidin menyatakan filem ini berbeza, mempunyai arah tuju dan tidak menyimpang elemen adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau.

“Jika Tuanku Muhriz dan Tunku Zain berpandangan sedemikian, jadi, kenapa saya nak ambil hati dengan komen tidak membina dari YouTuber itu,” katanya.

 

Biarpun dikritik, filem Gadis Jolobu meraih perhatian penonton yang hadir dengan berpakaian tradisional Minangkabau.
Biarpun dikritik, filem Gadis Jolobu meraih perhatian penonton yang hadir dengan berpakaian tradisional Minangkabau.

 

Saraleana menafikan filem Gadis Jolobu mempunyai adegan lucah yang boleh menjatuhkan imej filem tempatan.

“Jika ada elemen lucah, seksi atau sebagainya, sudah tentu tidak melepasi Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia bermaksud tiada adegan lucah dalam filem ini,” katanya yang turut mendapat sokongan ramai ahli Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang hadir pada majlis tayangan perdana filem.

Mengulas poster filem Gadis Jolobu seakan meniru poster filem komedi Amerika Syarikat, Neighbors 2: Sorority Rising, Saraleana berkata, ia juga satu proses kreatif, bukan berkaitan dengan hak cipta.

“Jika meniru, sudah pasti timbul masalah hak cipta, tetapi inikan industri kreatif.

“Kita juga tahu ada pengarah mengambil inspirasi dari filem lain, tetapi bukannya meniru,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi otai, Datuk Hattan enggan mengulas komen negatif terhadap filem lakonannya itu.

Hattan berkata, dia sudah bersedia menerima komen sejak awal.

“Saya tiada masalah orang ramai nak komen mengenai dialek. Kalau komen bagus, saya terima sebagai pengajaran.

“Namun, jika sebaliknya, saya abaikan sahaja. Dari awal, saya sudah tahu kita tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Filem Mat Kilau yang mencatat sejarah dengan kutipan lebih RM90 juta pun orang kutuk. Jadi, tidak mengapalah,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat