Ismail Sabri Bijak Matikan Langkah Tiga Serangkai Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Amarah pimpinan tertinggi Bersatu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memungkiri janji untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri daripada parti itu adalah balasan daripada perbuatan mereka sendiri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pemimpin Bersatu diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bertanyakan diri sendiri sebelum mempersoalkan orang lain.

Hal ini kata Hassan, ketiga-tiga pemimpin itu antara watak penting yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat Langkah Sheraton pada awal 2020.

Jelasnya, Muhyidin terlebih dahulu memungkiri janji bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri sementara selama dua tahun dan jawatan itu diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Presiden Bersatu itu berusaha menggagalkan perjanjian itu dan berjaya menerusi Langkah Sheraton setelah Muhyidin pula yang jadi Perdana Menteri kelapan, bukannya Anwar.

“Begitu juga Azmin, semasa PH berkuasa, beliau berhujah keras dan berusaha menggagalkan Anwar menggantikan Mahathir dengan berkempen supaya Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga penuh penggal Parlimen ke-14.

“Tidakkah Azmin yang membawa 10 orang Ahli Parlimen PKR meninggalkan parti dan PH sehingga Kerajaan PH tumbang. Tidakkah janji kepada Anwar Ibrahim dikhianati?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hassan berkata, Hamzah juga pernah bersekongkol dengan Dr. Mahathir mengadakan Perhimpunan Melayu pada tahun 2019 sebagai satu usaha menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar.

“Jadi, apa moralnya yang ada pada Muhyidin, Azmin dan Hamzah menuntut janji daripada Ismail Sabri sedangkan tiga serangkai pemimpin Bersatu itu pernah memungkiri janji mereka kepada Anwar.

“Mereka juga mungkir janji terhadap parti-parti dalam PH dan rakyat yang menyokong PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang inginkan perubahan dan reformasi. Inilah balasan bagi mereka yang memungkiri janji,” tegas beliau.

Hassan menyatakan, Ismail Sabri bijak mematikan langkah Bersatu apabila mengatakan ugutan parti terbabit untuk menarik sokongan menyebabkan kerajaan akan tumbang dan sebagai Perdana Menteri beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Jelasnya, jika PRU15 diadakan segera kerana terpaksa akibat ugutan dan tindakan parti Bersatu tarik sokongan, maka Bersatu menerima dua atau tiga kesan langsung.

“Pertama, rakyat marah. Keduanya, Bersatu dilihat melanggar amanat Yang di-Pertuan Agong supaya ada kestabilan politik dan ini membawa kemurkaan di pihak istana. 

“Ketiga, jika PRU15 diadakan sekarang, maka UMNO pimpinan (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi dan de facto leader, Datuk Seri Najib Razak dari kluster mahkamah yang dimusuhi Bersatu yang mendapat untung dan laba.

“Parti Bersatu yang diketuai tiga serangkai ini eloklah bermuhasabah dan menginsafi diri tentang untung nasib Parti Bersatu sekarang,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat