FGV Bakal Pasarkan 10,000 Ayam Kampung Seminggu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF), menyasarkan untuk memasarkan sehingga 10,000 ayam kampung seminggu menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya, berkata sebagai permulaan, pihaknya akan memasarkan 1,000 ayam kampung seminggu di bawah jenama Ladang’57 di pasaraya besar AEON Big seluruh negara.

Katanya, kapasiti pengeluaran akan dipertingkatkan secara berperingkat sehingga mencapai 10,000 ekor seminggu menjelang akhir tahun ini.

“Semua ayam kampung ini diternak oleh peserta Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

“FGV memberi komitmen yang mana kita akan membeli semula ayam kampung ini daripada penternak dan kemudian memasarkannya di pasar raya AEON Big.

“Untuk permulaan memandangkan projek ini masih baru, kita sasarkan 1,000 ekor ayam kampung seminggu sebelum ditingkatkan sehingga 10,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya lapor BH selepas majlis pelancaran makanan ayam kampung FGV ALMA – Bernas dan pemasaran ayam kampung Ladang’57 di AEON Big di Serdang, pada Isnin.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansur; Pengarah Urusan Kumpulan, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Pengarah Urusan, AEON Big (M) Sdn Bhd, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.

FGV berkerjasama dengan Bernas untuk menghasilkan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan daripada kilang pemprosesan padi dan beras.

Inisiatif itu dijangka akan mengurangkan sebanyak 10 peratus kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung yang diimport. Produk sampingan sebanyak 30,000 metrik tan setahun ini akan digunakan khusus untuk menghasilkan makanan ternakan ayam kampung ALMA.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, dengan pengeluaran makanan ternakan ayam kampung berkhasiat ini, negara akan dapat mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan ayam, seterusnya memastikan ketersediaan produk dan dijual pada kadar yang lebih rendah.

Dalam pada itu Mustapa berkata, kerajaan amat menggalakkan untuk FGV menerajui usaha meningkatkan jaminan bekalan makanan negara.

Ini kerana, FGV sebagai sebuah konglomerat yang besar dengan pendapatan yang tinggi mempunyai keupayaan untuk membantu meningkatkan bekalan produk makanan.

“Selain itu, kita juga cuba membantu golongan miskin tegar dengan memberi peluang menternak ayam kampung ini dan kemudian memasarkannya ke pasar raya.

“Ketika ini, untuk fasa pertama, kita ada 80 lokaliti yang mengambil bahagian dalam penternakan ayam kampung ini dan kita berharap usaha ini akan dapat membantu mereka untuk keluar daripada kemiskinan tegar ini,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat