Kecewa Dimadukan, Wanita Hilangkan Diri Bersama Anak

KUALA LUMPUR – Kecewa selepas mengetahui dirinya dimadukan, seorang wanita bertindak keluar rumah membawa bersama anak sebelum mereka menghilangkan diri, Jumaat lalu.

Kehilangan wanita berusia 42 tahun serta anak perempuannya berusia enam tahun itu disedari suaminya, 43, yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuang, Sungai Buloh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu, berkata lelaki terbabit membuat laporan selepas isterinya gagal dihubungi sebaik keluar dari rumah ibu mentuanya di Kampung Melayu Sri Kundang, di sini, kira-kira jam 10 pagi, Jumaat lalu.

“Berdasarkan keterangan suami mangsa, wanita itu memberitahu mahu pergi ke rumah ibunya di Kampung Melayu Sri Kundang untuk membawa ibunya balik ke kampung di Tapah, Perak.

“Sebaik lelaki itu tiba di rumah ibu mentuanya kira-kira jam 7 malam, wanita itu memaklumkan isterinya sudah keluar dari rumah dengan membawa sekali anak perempuan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Somu berkata, lelaki terbabit cuba menghubungi isterinya, namun gagal menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Kuang, di sini, kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, kami difahamkan wanita itu sudah dapat dihubungi dan memaklumkan dia keluar dari rumah ibunya bersama anak perempuan mereka dengan rela hati.

“Difahamkan isterinya bertindak sedemikian kerana wanita itu kecewa dimadukan selain suami tidak bekerja,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.