Campur Tangan Badan Pemikir Amerika Isyarat Kecemasan Untuk Malaysia – PAS

KUALA LUMPUR – Pengakuan terbaharu Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining perlu dilihat sebagai isyarat kecemasan terhadap hal ehwal kedaulatan dan keselamatan Malaysia, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata, pengakuan itu antara petunjuk wujudnya hubungan pihak tertentu di negara ini dengan badan pencatur agenda politik sulit Amerika Syarikat (AS) itu.

Bahkan, katanya, pengakuan tersebut juga harus dibaca sebagai ungkapan kegembiraan dan kemenangan pihak berkenaan menjayakan misi serta agenda mereka terhadap negara ini.

“Di mana anasir dalam negara ini juga telah menjadi ‘pintu masuk’ atau ‘tapak’ bagi pergerakan yang menjurus kepada campur tangan politik asing itu.

“Badan seperti ini memiliki kaitan rapat dengan agensi perisikan, namun mengelola doktrin dan propaganda mereka menerusi pendidikan, latihan dan pendanaan.

“Paling menjadi sasaran adalah negara yang dilihat berpotensi membangunkan Islam atau pihak pembawa agenda Islam fundamental,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Khalil berkata, seawal 1990-an, pelbagai kemelut hiruk-pikuk yang menghodohkan wajah Islam dicipta ke mata umat dunia, selain kacau ganggu di negara umat Islam.

Ujarnya, Islam ditunjukkan sebagai berwatak antagonis, sedangkan mereka berlagak hero, selain mencipta dan menaja gerakan ekstremis sedunia dengan nama Islam.

“Rantau ini, termasuk Malaysia tidak terkecuali khususnya menerusi serangan pemikiran sekular, liberal, plural dan seumpamanya. Juga dengan mencemari dan memperalatkan demokrasi untuk mengaruskan massa secara terancang kepada satu sokongan yang boleh dicengkam mereka.

“Natijahnya, sedang kita lihat pasca PRU14 apabila ketara sekali unsur gugatan dan ancaman terhadap tonggak negara. Apakah rakyat khususnya umat Islam Malaysia masih belum sedar segala cabaran dan petaka halus ini?

“Kita tanpa sedar menghadapi penjajahan bentuk baharu yang lebih licik untuk menguasai dan sehubungan itu juga, kami menegaskan semua hubungan sulit terjalin antara anasir di dalam negara ini dengan pihak tersebut adalah satu kecurangan, bahkan pengkhianatan kepada negara,” ujarnya.

Beliau menggesa pihak tertinggi keselamatan negara segera peka melaksanakan kontigensi sewajarnya dengan mengambil usaha pencegahan, semakan, siasatan dan pemantauan bagi menanganinya.

“Kita tidak harus menolak bahawa pihak yang mempunyai hubungan berkaitan kini menerajui puncak kuasa pemerintahan negara. Sesuatu yang amat menggerunkan dan wajar dibimbangi,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.