Terlepas Tembakan : Polis Dakwa Diganggu Makhluk Halus, Isteri Dan 2 Anak Cedera

TASEK GELUGOR – Seorang anggota polis terlepas satu das tembakan ketika berada di rumahnya di Kampung Setol, di sini, menyebabkan isteri dan dua anaknya cedera.

 

Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang tadi, ketika anggota berusia 33 tahun itu dikatakan bergelut dengan isterinya, 27, sebelum senjata api berkenaan tiba-tiba meletup.

 

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab, ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati anggota polis berkenaan terlebih dahulu memaklumkan hasratnya untuk membunuh diri, namun isterinya cuba merampas pistol terbabit untuk menghalangnya.

 

“Bagaimanapun, ketika cuba merampas pistol itu, anggota polis terbabit tiba-tiba tertekan picu menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke lantai dalam bilik tidur mereka.

 

“Akibat tembakan itu, isteri anggota berkenaan dan dua anak perempuan berusia lima dan tujuh tahun mengalami kecederaan pada kaki serta betis selepas terkena serpihan lantai yang pecah,” katanya.

 

Abdul Ghafar berkata, setakat ini polis sudah menahan anggota berusia 33 tahun itu dan siasatan awal suspek mendakwa dia diganggu makhluk halus.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.