Petugas Badan Sukarelawan Kristian Ajak Pelarian Syria Tukar Agama

LESVOS — Pelarian Islam tersinggung dengan sikap sukarelawan badan bantuan di sebuah kem di pulau ini yang cuba menukar agama mereka kepada Kristian.

 

Mohamed, pelarian Syria dari Damsyik, berkata tindakan sukarelawan badan bantuan di kem Moria “tidak peka” pada tuntutan agama orang Islam.

 

“Ia menjadi satu masalah besar kerana (di sini) ramai pelarian Islam dan mereka sukar bertindak menukar agama mereka,” katanya kepada The Guardian awal minggu ini.

 

“Mereka cuba berbuat demikian pada bulan Ramadan, bulan paling mulia bagi umat Islam.”

 

Sekurang-kurangnya dua kali dalam beberapa bulan ini pekerja sukarela Kristian mengedar borang menukar agama dalam kitab St John berbahasa Arab kepada pelarian di kem tahanan.

 

Wartawan akhbar London itu melihat sendiri dokumen tersebut yang mengajak pencari perlindungan di Eropah agar menurunkan tandatangan pada borang yang mengandungi ayat:

 

“Saya tahu saya berdosa … saya meminta Jesus mengampuni dosa saya dan memberikan saya hidup yang abadi. Keinginan saya hanya untuk mengasihi dan mentaati-Nya.”

 

Seorang lagi pemohon suaka dari Syria, dikenali sebagai Ahmed, berkata “kami suka semua agama tetapi jika anda seorang Kristian dan saya berikan anda al-Quran, bagaimana anda rasa?”

 

Pelarian-pelarian mendakwa sekurang-kurangnya dua wakil Euro Relief, kumpulan bantuan terbesar paling aktif di Moria, terlibat mengedarkan borang tukar agama kepada Kristian.

 

Euro Relief, badan amal di Greece, bergerak di kem tahanan itu selepas beberapa organisasi lain menarik diri sebagai membantah perjanjian Kesatuan Eropah-Turki.

 

Namun, Euro Relief pula mendakwa ia melarang bahan-bahan agama diedarkan tetapi tidak menolak kemungkinan petugas sukarelanya secara peribadi berbuat demikian.

 

“Saya telah mengambil tindakan, supaya sukarelawan kami sedar bahawa mereka tidak patut mengedarkan apa-apa bahan bertulis (seumpama itu),” kata pengarahnya Stefanos Samiotakis.

 

“Kod etika kami … jelas menyatakan perkara ini mereka tidak boleh lakukan dan jika mereka lakukan juga, kami akan mengambil tindakan disiplin.”

 

Antara Januari tahun lalu dan Mac lepas, hampir sejuta pencari suaka dibenarkan bergerak melalui negara-negara Balkan selepas mendarat di Greece dari Turki.

 

Namun mulai Mac, Macedonia menutup laluan di sempadan negara itu dengan Greece.

 

Beberapa hari kemudian, Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menghantar pulang pelarian yang mendarat di Greece selepas 18 Mac ke Turki semula.

 

Perjanjian EU-Turki ini dibantah kumpulan-kumpulan hak asasi manusia kerana melanggar undang-undang antarabangsa yang melarang pemohon suaka dihantar pulang.

 

Sikap negara Eropah itu menyebabkan sehingga 57,000 terkandas di Greece. Kebanyakan mereka di tanah besar, beberapa ribu lagi tersadai di kem penuh sesak, seperti di Moria. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.