‘Tolonglah, Sebelum Saya Tutup Mata’

SEREMBAN – Walaupun negara sudah membangun, namun tiga keluarga di Kampung Gedung Lalang Lama, Ampangan di sini, masih menggunakan air perigi bagi menjalani kehidupan seharian.

 

Walaupun pelbagai aduan dibuat sejak sekian lama, namun hingga kini masih belum nampak jalan penyelesaian menyebabkan mereka sudah putus harapan.

 

Abu Hassan Sheikh Omar, 86, berkata, dia menggunakan air perigi terbabit yang digali arwah ayahnya untuk kegunaan mereka sekeluarga sejak berusia 18 tahun lagi.

 

“Tak sangka pula sampai usia saya macam ini pun saya terpaksa gunakan air perigi. Negara sudah membangun, tapi keadaan kehidupan saya tetap sama.

 

“Nak masuk empat generasi keluarga saya terpaksa gunakan air perigi, saya pun tak tahu nak cakap macam mana lagi sebab permohonan dah banyak kali dibuat sejak arwah ayah masih ada lagi,” katanya.

 

Kata Abu Hassan, bukan niat untuk menyalahkan sesiapa, namun dia hanya berharap supaya masalah dihadapinya itu mendapat perhatian pihak berkenaan.

 

Tambah mengecewakan, dia sebelum ini diberi harapan apabila ada pelbagai pihak yang datang kononnya mahu mengambil tindakan, namun selepas itu senyap tanpa khabar berita.

 

“Ibarat menanti buah yang tak gugur. Itulah yang kami rasa. Memang perasaan saya dukacita sebab hanya rumah kami sahaja yang hadapi masalah ini, sedangkan rumah jiran-jiran berhampiran dapat gunakan air bersih.

 

“Saya harap sangat sebelum tutup mata, saya dapat merasa guna bekalan air paip bersih,” katanya.

 

Sementara itu, anak saudaranya, Sheikh Kamaruddin Sheikh Dolah, 45, berkata, bagi memastikan bekalan air perigi dapat disalurkan ke dalam rumah, mereka menggunakan mesin elektrik untuk mengepam air dari perigi.

 

Bagaimanapun katanya, masalah akan timbul jika bekalan elektrik terputus atau mesin terbabit rosak.

 

“Setakat ini sudah empat kali saya tukar mesin dan harganya pula bukannya murah. Tapi nak buat macam mana, kena jugalah tukar yang baru kalau rosak sebab air nak guna hari-hari.

 

“Kalau tak, kami perlu angkut air ke dalam rumah. Saya bersyukur kerana perigi ini tak pernah kering, tapi sampai bila kami perlu hidup begini,” katanya.

 

Bapa kepada tiga anak itu berkata, setahun lalu ada saluran paip ditinggalkan di situ namun tidak pasti tujuan sebenar kerana ia  ‘terbengkalai’ begitu sahaja.

 

“Masa itu kami ingat mungkin permohonan kami dah diluluskan. Tapi lepas itu diam saja. Macam cakap dengan dinding.

 

“Ramai yang dah datang, ambil gambar…tapi setakat itu sahaja. Jadi, saya harap sangat tolonglah beri perhatian masalah kami ini, saya pun tak mahulah cucu-cucu saya esok pun terpaksa guna air perigi,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.