Taufan Soudelor Badai Taiwan, Ribuan Mangsa Dipindahkan

TAIPEI – Taufan Soudelor membadai Taiwan pada awal hari ini sehingga menumbangkan pokok dan meruntuhkan papan tanda ketika ia membawa angin kencang dan hujan lebat ke pulau berkenaan.

 

Kanak-kanak perempuan lapan tahun dan ibunya menjadi mangsa pertama selepas mereka dihanyutkan ke laut dan mati apabila taufan itu mula membadai.

 

Tiada pengesahan berkaitan kematian lain pada awal hari ini tetapi media tempatan berkata, seorang lelaki terkorban pada malam tadi akibat dihempap papan iklan di bandar tepi pantai, Suao.

 

Sehubungan beribu-ribu orang dipindahkan dengan 1,300 kini ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara di seluruh pulau terbabit.

 

Kesemua sekolah dan tempat kerja ditutup hari ini ketika taufan berkenaan membadai di tengah Taiwan.

 

Taufan berkenaan membadai di bandar Hsiulin, timur Hualien pada jam 4.40 pagi waktu tempatan hari ini.

 

Selain itu, di bandar berdekatan, Hualien pula pokok-pokok tercabut dan papan iklan gergasi runtuh dari bangunan manakala motosikal bersepah di tengah jalan akibat ditiup angin.

 

“Taufan ini bergerak ke barat daya dengan membawa hujan lebat dan angin kencang ke seluruh pulau walaupun semakin perlahan secara berperingkat,” kata Biro Cuaca Pusat.

 

Sementara itu, bandar Tatung di timur Yilan paling teruk ditimpa hujan pada kadar lebih satu meter sejak Khamis.

 

Angin kencang yang bertiup di Suao bertiup selaju 237 kilometer sejam.

 

Media tempatan turut melaporkan lebih 60,000 kediaman terputus bekalan elektrik.

 

Sekurang-kurangnya 80 penerbangan antarabangsa dibatalkan dan perkhidmatan kereta api laju tergendala.

 

Sejumlah lebih 4,000 orang dipindahkan termasuk 2,000 pelancong yang berkunjung ke Pulau Green dan Pulau Orchid.

 

Kebanyakan mangsa yang dipindahkan adalah dari perkampungan di kawasan pergunungan di timur.

 

Askar sudah memindahkan penduduk terbabit dan mengawal rumah mereka. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.