Peti Pos Malaysia Di Dasar Laut, Terdalam Di Dunia

Pulau Layang-Layang – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) berjaya mencipta nama dalam ‘Malaysia Book of Records’ untuk peti pos dasar laut terdalam di negara, dengan kedalaman 40 meter dari permukaan laut.

 

Peti pos dasar laut itu ditempatkan sejak 25 Julai lalu di Pulau Layang-Layang, iaitu pulau yang terletak 300 kilometer dari pantai Sabah dan mengambil masa kira-kira 1 jam perjalanan menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu.

 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kedudukan peti pos itu turut menjadikannya peti pos dasar laut terdalam di dunia, mengatasi negara lain seperti Susami, Wakayama di Jepun dengan kedalaman 10 meter yang ketika ini adalah pemegang Guinness World Records.

 

“Ini bermakna, kita perlu membuat permohonan kepada Guinness World Records, bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap rekod menempatkan peti pos pada kedalaman 40 meter di Pulau Layang-Layang ini.

 

“Peti pos dasar laut ini merupakan projek pos pelancongan kedua, selepas yang pertama dilancarkan di Gunung Kinabalu, sebagai peti pos tertinggi di Malaysia,” katanya selepas melancarkan peti pos dasar laut itu, hari ini.

 

Jelasnya, peti pos dasar laut itu membolehkan penyelam di Pulau Layang-layang berkongsi pengalaman bersama keluarga dan rakan, menerusi kiriman poskad kalis air dengan cop pos khas dan logo ‘Malaysia Book of Records’.

 

“Poskad dari Pulau Layang-Layang ini juga boleh disimpan sebagai kenangan dan dijadikan bahan koleksi,” katanya yang turut melancarkan poskod khas bernombor 88005 kepada Pulau Layang-Layang, sebagai usaha meningkatkan kemudahan pos kepada pelancong dan kakitangan di pulau itu.

 

Jelasnya, kementerian menerusi Pos Malaysia dan SKMM juga melantik Avillion Layang-Layang Resort sebagai ejen pos di pulau itu, bagi menyediakan perkhidmatan posmen dasar laut pertama di Malaysia, untuk memungut semua poskad kalis air dari dasar laut yang dikirim penyelam.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, dua posmen yang dilantik akan ditugaskan memungut dan mengumpul poskad kalis air dari peti pos dasar laut itu.

 

“Kutipan poskad ini akan diadakan secara segera mengikut jadual. Semua poskad termasuk surat akan dihantar menggunakan penerbangan MASWings yang bertolak dua kali seminggu dari pulau ini dan kemudian dihantar ke Pos Malaysia Kota Kinabalu untuk proses seterusnya,” katanya.

 

Sementara itu, dua anak tempatan dari Kota Belud, Victorley Marden, 25, dan Ritchie Alester Lee, 35, yang dilantik sebagai posmen dasar laut itu, teruja atas kepercayaan yang diberikan dan berjanji akan memastikan tanggungjawab itu digalas sebaiknya.

 

Lee yang bertugas sebagai pengurus pusat selam skuba di pulau itu mempunyai pengalaman menyelam lebih 10 tahun dan memiliki lesen menyelam pada 2001, manakala Marden sebagai jurulatih selam, mula mendapat lesen menyelam pada 2011.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.