Jurassic Park: Peluang Lihat Dinosaur Di Ipoh

IPOH – Warga Perak berpeluang melihat haiwan pra sejarah dinosaur pada Pameran Pendidikan Seni Dinosaur di Stadium Indera Mulia yang bermula kelmarin hingga hari ini.

 

Pengerusi Persatuan Komputer dan Peralatan Digital Perak (PCDA), Kevin Chang Tat Guan berkata, buat pertama kalinya pameran itu diadakan serentak bersama pameran Perak IT dan Perak Homex 2015.

 

Menurutnya, pameran dinosaur itu diadakan selepas tayangan filem Jurassic World mendapat sambutan hangat dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa baru-baru ini.

 

“Kita mahu orang ramai datang sendiri melihat pameran ini yang dapat memupuk pembelajaran interaktif untuk kanak-kanak dan mendalami pengetahuan mengenai dinosaur.

 

“Orang ramai yang berminat boleh membeli tiket dengan harga RM8 bagi dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak atau pakej tiket keluarga dua dewasa dan dua kanak-kanak dengan harga RM20,” katanya.

 

Beliau turut menjangkakan kira-kira 80,000 pengunjung akan hadir sepanjang empat hari gabungan ketiga-tiga pameran ini berlangsung.
Terdahulu, beliau mengiringi Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon merasmikan pameran itu, semalam.

 

Hadir sama, Penaung Program, Tan Sri Chang Ko Youn.

 

Sementara itu, Hang Soon berkata, pameran tersebut adalah yang terbesar diadakan di Perak melibatkan 455 gerai secara keseluruhan.

 

Katanya, pada masa hadapan pameran tersebut akan diadakan dengan penyertaan Persatuan Industri Kasut Perak.

 

“Kerajaan negeri berharap pameran ini akan diadakan dengan skala lebih besar dan secara tidak langsung jumlah pengunjung juga akan bertambah bagi membantu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya yang menyatakan dijangka sasaran jualan perabot mencecah RM12 juta. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.