PAS Terima Aduan, Mula Siasat GHB

KUALA LUMPUR – Pas masih belum membuat sebarang keputusan terhadap penglibatan ahlinya dalam Gerakan Harapan Baru susulan baru sahaja menerima aduan dalam mesyuarat bulanan mereka, hari ini.

 

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga kini ahli yang terlibat dalam gerakan itu masih ahli Pas.

 

“Kita baru terima laporan hari ini namun parti tidak membuat sebarang keputusan terhadap mereka kerana kita masih lagi menunggu laporan-laporan dari negeri-negeri.

 

“Bagi parti, mereka masih lagi ahli Pas dan Pas akan ambil tindakan dalam konteks dia (ahli) sebagai ahli Pas yang terikat dengan dasar dan peraturan parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bulanan tersebut.

 

Menurutnya, aduan yang diterima perlu diteliti sebelum membuat sebarang keputusan.

 

“Jawatankuasa akan mengkaji laporan-laporan tersebut. Hari ini kita terima laporan tak adil kalau kita terus putuskan. Hukuman dibuat nanti mengikut kes berdasarkan tahap kerosakan imej yang dilakukan.

 

“Hukuman terakhir adalah pecat. Bentuk hukuman mula-mula amaran, gantung kemudian baru pecat,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata jika mana-mana ahli menyertai parti politik lain, keahliannya gugur secara automatik.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hampir semua negeri menghantar aduan hari ini.

 

“Kita kena semak setiap laporan supaya kita tak buat keputusan terburu-buru.

 

“Antara bentuk aduan adalah ajakan keluar parti, penglibatan dengan aktiviti Harapan Baru dan sebagainya,” katanya.

 

Tegas Mohd Amar, setiap ahli berhak membela diri berdasarkan prosedur parti. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.