PAS Sedia Terima Semula Pimpinan GHB Yang ‘U-Turn’

Kuala Lumpur – PAS masih memberi peluang kepada ahli-ahlinya yang menyatakan sokongan atau menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk kembali semula kepada parti berteraskan Islam itu.

 

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata parti sentiasa bersikap terbuka malah sedia menerima mereka kembali bagi mengukuhkan semula kedudukan parti.

 

“Memang kerana PAS ini terbuka menerima sebab kalau GHB ini mengatakan bahawa PAS ini eksklusif tapi kita tak eksklusif sebaliknya kita inklusif dan terbuka tetapi berprinsip.

 

“Jadi mana-mana ADUN, pimpinan, ahli yang sedar perjuangan ini dan mereka berada di dalam PAS kita nak minta supaya mereka berpegang dan berfikrah seperti PAS,” katanya kepada Antarapos.

 

Beliau diminta mengulas mengenai sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada ahli dan wakil rakyat PAS yang dijangka menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) yang kini dalam proses memulakan siri jelajah perasmiannya baru-baru ini.

 

Beberapa pemimpin PAS yang mahu menubuhkan parti baru menerusi GHB yang dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

 

GHB yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu selaku pengerusi jawatankuasa penaja parti baru itu dibarisi bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

 

Gerakan itu juga menampilkan beberapa bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Abdul Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga wakil rakyat PAS.

 

Mengulas mengenai ahli PAS yang menyertai GHB, Razman berkata sebarang tindakan atau hukuman bergantung kepada bidang kuasa pimpinan pusat.

 

“Kita daripada dulu terima daripada pelbagai latarbelakang, jadi apabila dia berada dalam PAS maka dia hendaklah menjadi, melaksanakan dan menjalankan fikrah, pemikiran dan perjuangan PAS.

 

“Jadi sebagai ahli, pimpinan atau wakil rakyat yang telah membuat pengisytiharan atau mengisytihar bersama dengan GHB kita bersedia menerima balik mereka dalam jemaah kita,” katanya. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.