Nasi Goreng Terakhir Buat Abdul Rahman

Kuala Nerang – Kasih ibu hingga ke syurga.

 

Berakhir sudah pengorbanan seorang warga emas yang berusia 101 tahun yang menjaga anak bongsunya, orang kelainan upaya (OKU) di Kampung Bukit Nambua, dengan penuh kasih sayang selama lebih enam dekad.

 

Meliah Md Diah, 101, meninggal dunia pada kira-kira jam 3.30 pagi di sisi anak lelaki kesayangannya itu, Abdul Rahman Saud, 63, selepas mengadu sesak nafas.

 

Agensi berita BERNAMA melaporkan, anak saudara arwah, Siti Jaleha Yunus, 59, berkata, ibu saudaranya itu mengadu sesak nafas pada kira-kira jam 7.30 malam ketika berada di rumahnya yang terletak bersebelahan.

 

Katanya bimbang mengenai keselamatan warga emas itu, keluarganya mengambil keputusan membawa dua beranak itu untuk tinggal bersama mereka bagi memantau keadaan kesihatan Meliah.

 

“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisi anaknya. Kami sudah beritahu Abdul Rahman mengenai ibunya. Walaupun dia OKU, tetapi dia faham dan mendiamkan diri sahaja,” katanya.

 

Gambar Meliah yang sedang memangku dan mencium anaknya yang disiarkan oleh BERNAMA sebelum ini menjadi viral di laman sosial sehingga memperoleh lebih daripada sejuta ‘Like’.

 

Siti Jaleha berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Nambua kira-kira pukul 3.30 petang ini.

 

Katanya ibu saudaranya itu sempat menyuapkan makanan terakhir iaitu nasi goreng kepada Abdul Rahman.

 

Suri rumah yang mempunyai lima orang anak itu berkata selepas ini, mereka sekeluarga akan menjaga Abdul Rahman sama seperti mana Meliah menjaganya sehingga akhir hayatnya.

 

“Kalau saya meninggal dunia terlebih dahulu anak-anak saya akan menjaga Abdul Rahman. Sebelum ini Allahyarham pernah berpesan untuk jaga anak istimewanya itu sekiranya dia pergi terlebih dahulu mengadap Maha Pencipta,” katanya.

 

Meliah yang kematian suami 20 tahun lalu, berseorangan menjaga anak lelakinya yang cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil lagi.

 

Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan orang untuk makan, mandi dan bergerak. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.