MH370: Tidak Perlu Solat Jenazah Ghaib

Kuala Lumpur – Solat jenazah ghaib tidak perlu dilakukan buat kali kedua sekiranya ia pernah dilakukan sebelum ini.

 

Perkara itu dinyatakan pendakwah bebas, Datuk Mohd Zawawi Yusoh yang merujuk kepada pengurusan jenazah bagi mangsa penerbangan MH370 yang beragama Islam.

 

Selain itu katanya, kubur bertanda bagi mangsa juga tidak diperlukan termasuk memorial tugu peringatan yang menampakkan sosok manusia.

 

“Kalau sudah sembahyang (jenazah ghaib) sebelum ini maka tidak perlu ia diulang kerana mereka telah disahkan meninggal dunia selepas setahun mereka hilang.

 

“Sembahyang sebelum ini dikira sah walaupun mayat tidak dijumpai atau hancur. Sembahyang tetap sah walaupun tidak dikapan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Jelasnya, tanggungjawab fardhu kifayah dianggap telah selesai sekiranya sembahyang jenazah ghaib didirikan untuk mangsa beragama Islam.

 

Ia juga katanya mengesahkan kematian mangsa dan proses pengagihan harta pusaka, pembubaran status perkahwinan mangsa atau hukum lain juga disahkan.

 

“Mereka (mangsa) semua adalah syahid akhirat dan mendapat status kemuliaan.

 

“Cukup dengan sesuatu yang telah diiktiraf kerajaan dan jenazah sudah diselesaikan dengan cara mendirikan solat jenazah ghaib.

 

“Kalau suami isteri, hubungan mereka sudah jatuh talak dan harta pusaka sudah boleh dibahagi,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.