MH370: Perancis Lancar Operasi Mencari Di Udara, Darat, Laut

KUALA LUMPUR – Perancis melancarkan operasi mencari melalui udara, darat dan laut di Pulau Reunion, semalam dengan harapan akan menemukan lebih banyak serpihan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, selepas penemuan serpihan sayapnya di pulau tersebut, Ahad lalu.

 

Kerajaan Perancis berkata, sebuah pesawat tentera mula memantau kawasan Lautan Hindi pagi semalam.

 

“Pencarian juga akan melibatkan rondaan berjalan kaki dan penggunaan unit helikopter dan maritim.

 

“Sebarang penemuan baharu akan memudahkan lagi siasatan dijalankan,” kata kenyataan bersama oleh menteri-menteri Pertahanan, Pengangkutan dan Wilayah Asing.

 

Kerajaan Perancis dalam satu kenyataan berkata, sebuah pesawat Casa milik tentera Perancis mula memantau kawasan sekitar Pulau Reunion awal pagi ini, bersama helikopter dan bot peronda.

 

Askar berjalan kaki turut digunakan memeriksa sepanjang pantai di pulau itu, kata kenyataan itu.

 

“Perancis akan memainkan perananmya dalam usaha antarabangsa untuk membantu menyelesaikan misteri tragedi itu (kehilangan MH370),” tambah kenyataan itu, sambil menyatakan simpati atas penderitaan yang ditanggung ahli keluarga penumpang MH370.

 

Dalam tindakan berbeza, pihak berkuasa tempatan di Pulau Reunion di mana serpihan sayap itu ditemukan menyatakan bahawa mereka akan mengadakan pencarian lebih teliti bermula Isnin ini.

 

Pesawat Boeing 777 itu hilang pada 8 Mac tahun lepas, sekali gus mencetuskan operasi terbesar dalam sejarah pencarian pesawat hilang, yang kini memberi fokus di Lautan Hindi berdasarkan kepada data satelit yang menunjukkan laluan pesawat itu sebelum ia hilang.

 

Pihak berkuasa Australia melahirkan keyakinan bahawa mereka mencari pesawat tersebut di tempat yang betul.

 

Menteri Luar Australia, Julie Bishop yang kini berada di Malaysia berkata, penemuan serpihan sayap pesawat di Pulau Reunion memberi harapan pencarian dilakukan di lokasi yang betul.

 

“Model arus, ombak, serta corak hanyutan membuktikan kita mencari di lokasi yang betul,” katanya kepada stesen televisyen Australia. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.