Kedah Gah Ungguli Liga Perdana

Kuala Lumpur – Pendahulu Liga Perdana, Kedah terus mengekalkan kedudukan tangga teratas selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pada Jumaat.

 

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Helang Merah meraih 39 mata selepas 18 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, T-Team yang mengutip tiga mata di tempat lawan.

 

Gol skuad Helang Merah dijaringkan oleh pemain import dari Korea Selatan, Bang Seung-Hwan pada minit keenam, Sandro Da Silva (minit ke-19) dan sepakan penalti oleh Liridon Krasniqi pada minit ke-63.

 

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, T-Team menang selesa 4-1 ke atas Sabah untuk terus menghimpit Kedah di tangga teratas Liga Perdana.

 

Empat gol skuad ‘The Titans’ dijaringkan oleh Sadriddin Abdullaev pada minit ke-14, Tomislav Busic (46′ dan 65′) dan Muhd Zulhanizam Shafine pada minit ke-76 manakala Leopold Alfonso Otong menjaringkan gol tunggal untuk Sabah pada minit ke-30.

 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-74 membantu PKNS FC mengalahkan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix, 2-1.

 

Terdahulu, Francis Forkey Doe meletakkan NS Matrix di hadapan pada minit ke-24 sebelum rakan senegara Gabriel, Gonzalo Manuel Soto menyamakan kedudukan untuk PKNS FC pada minit ke-43.

 

Pulau Pinang turut melakar kemenangan di tempat lawan selepas menang selesa 3-0 ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

 

Penyerang import dari Brazil, Hilton Mauro Moreira muncul wira skuad Harimau Kumbang menerusi jaringan pada minit ke-24 dan minit ke-67 serta gol bekas pemain JDT II, Mohd Aznie Taib pada minit ke-87.

 

Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Baihakki Khaizan diperintah keluar padang oleh pengadil, Zulkifli Ismail selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-84.

 

Wakil kelab Pahang, Kuantan FA kembali menghidupkan peluang untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas menundukkan DRB Hicom FC 3-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak.

 

Tiga gol skuad ‘The Seagulls’ dijaringkan oleh Fabrice Noel pada minit kedua, Milan Purovic (59′) dan Wafiy Abdul Ghafar pada minit ke-83 manakala DRB Hicom meraih gol saguhati menerusi pemain import dari Jepun, Hayato Hashimoto pada minit ke-53.

 

Wakil kelab, SPA Putrajaya FC pula mencatatkan kemenangan kedua musim ini daripada 18 perlawanan setelah mengalahkan UiTM FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

 

Dua gol berkenaan dijaringkan oleh Mohd Ibrahim Jobeli pada minit ke-43 dan sepakan penalti penyerang import dari Rusia, Rodion Sergeyevich Dyachenko pada masa kecederaan babak kedua perlawanan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.