Kalau Baju Ketat Tegurlah Secara Elok – Irma Hasmie

Selebriti Irma Hasmie, 33, berharap masyarakat dapat memberi ruang dan sokongan kepada artis yang baru menampilkan imej berhijab dan tidak cepat menjatuhkan hukum atau melemparkan kritikan pedas terutama jika dari segi pemakaian itu yang dilihat kurang sesuai dengan imej muslimah yang ditonjolkan.

 

Katanya, teguran dan nasihat boleh diberikan tetapi seeloknya secara baik dan perlahan-lahan kerana mungkin perspektif seseorang artis itu sendiri yang pada mulanya mahu berubah menjadi insan yang lebih baik boleh bertukar menjadi negatif dek kritikan yang diterimanya.

 

“Mereka nak tutup aurat itu sesuatu yang sangat bagus. Namun, tidak semua orang ada ilmu macam mana hendak tutup aurat dengan betul.

 

“Beri mereka ruang dan biar mereka selesa dulu dengan perubahan daripada tidak bertudung kepada bertudung. Jangan kita terus nak hentam.

 

“Sebagai umat Islam, kita gunakan pendekatan dengan menegur mereka secara baik dan pelahan-lahan.

 

“Kalau misalnya artis itu bertudung tetapi bajunya nampak ketat, tegurlah baik-baik. Jangan terus kritik sebab ia mungkin akan membuatkan perseptif nak berubah dan menutup aurat itu terbantut,” katanya kepada Malaysian Digest.

 

Tambahnya, artis juga perlu peka dan benar-benar tahu apa matlamat dan niat sebenar hijrah yang dilakukan. Tidak salah jika mahu berfesyen dan mengikut trend tetapi tetap perlu menjaga batas-batas.

 

“Tidak salah kalau hendak mengikut trend selagi apa yang kita ikut itu tidak bercanggah dengan ajaran agama kita.

 

“Kalau sudah tahu memakai tudung itu satu kewajipan, jadi kita pun kenalah jaga batas-batasnya barulah lengkap penghijrahan kita.

 

“Jangan pula nanti sebab kita hendak berubah menjadi lebih baik tetapi ada perkara-perkara lain yang merosakan niat kita,” katanya mengulas tentang isu yang timbul mengaitkan sesetengah selebriti yang menerima kritikan gara-gara pakaian yang tidak sesuai dengan penampilan sebagai wanita bertudung.

 

Tambahnya, sejak penghijrannya beberapa tahun lalu, dia juga pernah menerima kritikan tetapi tidak terlalu ambil peduli dengan komen negatif sebaliknya komen positif sikit sebanyak menambah semangatnya untuk terus mempertingkatkan keyakinan diri.

 

Irma juga berkata, selebriti bertudung tidak perlu ragu-ragu jika mahu meletakkan syarat yang bersesuain dengan penampilannya hanya kerana binmbang sukar mendapat tawaran pada masa akan datang.

 

“Mungkin ada artis yang takut kalau letak syarat sebab nak sesuaikan dengan imej bertudung, nanti takut susah nak dapat ‘job’ pada masa akan datang.

 

“Sebenarnya, ia berbalik kepada keberanian kita dalam menegakkan sesuatu. Kita tengok semula sebagai pelakon, apa matlamat atau sasaran dan apa niat asal kita hendak berubah.

 

“Jangan takut nak buat sesutu kebaikan sebab takut nanti rezeki tidak ada walhal rezeki ada di mana-mana.

 

“Insha Allah, macam saya sendiri mungkin Tuhan tidak berikan saya rezeki berlakon tetapi dia berikan saya rezeki mengacara,” kata pengacaran program Assalamualaikum di stesen TV Al-Hijrah.

 

Sejak mendirikan rumah tangga sehingga kini, sudah dua tahun Irma tidak aktif di hadapan kamera sebagai pelakon.

 

Bukan tiada tawaran tetapi memandangkan lakonan memerlukan komitmen yang panjang di set penggambaran, jadi buat masa ini dia tidak mengambil sebarang tawaran kerana mahu menumpukan perhatian kepada anak-anak dan keluarga.

 

Irma mendirikan rumah tangga bersama Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Redza Syah Irfhan, 3, dan Irma Nur Neyli, 1 tahun.

 

Perkembangan lain, Irma bakal muncul menerusi program realiti terbaharu di saluran Astro bertajuk Kerja Kahwin yang dijangka ditayangkan pada September depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.