Guan Eng Ada Penyakit ‘Gatal Mulut’ – Khairuddin

Shah Alam – Sikap DAP yang berterusan menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengundang reaksi kurang senang pemimpin tertinggi parti itu.

 

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri menyelar Lim Guan Eng dan menyifatkan beliau sedang berhadapan dengan penyakit politik yang serius ekoran terus melakukan provokasi.

 

“Kenyataan pimpinan DAP khususnya Lim Guang Eng yang berterusan melakukan provokasi terhadap Presiden PAS menggambarkan akhlak rendah yang dimiliki oleh mereka.

 

“Bagi saya, sememangnya LGE sedang berhadapan dengan penyakit politik yang serius iaitu penyakit “gatal mulut”,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP itu dilaporkan berkata jika Hadi terus mempertahankan Najib, ia jelas menunjukkan PAS telah kehilangan kredibiliti dalam membanteras rasuah.

 

Guan Eng berkata Hadi kini pro-UMNO kerana banyak ‘menyokong’ Najib dalam isu berkaitan 1Malasyia Development Berhad (1MDB).

 

Malah Khairuddin yakin bahawa DAP bukanlah parti yang boleh diharapkan rakyat Malaysia untuk mentadbir Putrajaya kelak.

 

“Ia mengesahkan lagi kebenaran tindakan PAS memutuskan hubungan politik dengan DAP. DAP bukanlah pimpinan harapan rakyat Malaysia.

 

“Dalam masa yang sama DAP juga bukan harapan rakyat. Menggantungkan harapan negara dipimpin oleh parti seumpama DAP bakal meletakkan negara ke lembah kehancuran,” katanya yang juga merupakan Ahli PArlimen Kuala Nerus.

 

Beliau turut menyeru supaya rakyat Malaysia bersama-sama dengan PAS untuk membina politik baru yang lebih matang dan stabil demi kesejahteraan negara.

 

Selain meminta orang ramai ‘mengajar’ DAP di Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

 

“Sampai masa rakyat Malaysia pelbagai kaum bersama dengan PAS bagi melakar politik baru yang lebih stabil, adil, berakhlak dan berkebajikan.

 

“Tinggalkan DAP dan UMNO. Jangan biarkan negara tergadai di tangan ahli politik cauvinis dan berkepentingan seperti DAP dan UMNO.

 

“PRU ke-14 akan menyaksikan orang Islam Melayu khususnya dan pelbagai kaum bakal mengajar DAP yang sombong dan angkuh berpolitik khususnya di Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.