Ganggu Siasatan SPRM, Portal Pro-UMNO Dakwa, Khairy Bingai

Kuala Lumpur – Blog pro Umno, Mykmu.net hari ini membidas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebagai menteri “bingai” kerana kenyataan dangkalnya mengatakan siasatan polis terhadap beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu bentuk gangguan.

 

Dalam enteri terbaru hari ini, Mykmu berkata, ketua Pemuda Umno itu hanya membuat kenyataan berdasarkan kecendurangan dalam media sosial semata-mata walaupun hakikatnya ia tidak begitu.

 

“Mudahnya macam ini sajalah, kalau tak nak polis siasat, jangan buat laporan polis!! Ini buat laporan polis, bila polis siasat, dah melompat dan dakwa cuba ganggu pula. Datang orang tak faham, hanya baca perkembangan dalam FB (Facebook) dan Twitter, buat kenyataan bodoh.

 

“Dia menteri, takkanlah bingai sangat tak boleh rujuk kepada ketua polis negara atau timbalan perdana menteri yang juga menteri dalam negeri terlebih dahulu? Ke kecil sangat kedudukan dalam Kabinet tu sampaikan nak tanya soalan pada platform yang sepatutnya pun susah.

 

“Orang kebanyakan di luar ni buat andaian dan persepsi macam-macam kerana mereka tidak ada akses seperti mana menteri berkenaan,” kata Mykmu dalam tulisan bertajuk “Kalau semua siasatan berbentuk intimidasi, polis & SPRM boleh tutup kedai” hari ini.

 

Blog itu berkata, siasatan polis ke atas pegawai SPRM yang didakwa Khairy sebagai gangguan merupakan sebahagian dari proses selepas suruhanjaya sendiri membuat laporan bagi menafikan penglibatan agensi berkenaan dalam soal kebocoran maklumat siasatan kes membabitkan derma politik yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

 

“Tak tahulah kalau pemahaman SPRM dan menteri yang berkenaan kalau laporan polis dah dibuat, itu maksudnya siasatan tak perlu dijalankan.

 

“Salah tu, siapa pulak yang cakap? Penulis yakin ketika menteri berkenaan terlibat dalam ‘kemalangan’ yang membawa kepada perkahwinan dengan isterinya sekarang, laporan polis dibuat dan kenyataannya direkodkan,” katanya merujuk kepada dakwaan perkahwinan Khairy dengan anak kepada bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

 

Menyifatkan tindakan polis sebagai proses biasa, Mykmu berkata, ianya bukan perkara baru kerana sebelum ini ramai pernah diambil keterangan, dirakamkan percakapan malah ada yang ditahan reman dan sebagainya oleh SPRM dan pihak berkuasa.

 

“Kalau ini semua dianggap gangguan, susahlah pihak yang berkenaan nak buat kerja. Lebih baik tutup kedai saja,” katanya.

 

Blog Umno tersebut turut mencabar Khairy untuk membentangkan usul di Dewan Rakyat agar SPRM diberikan kekebalan undang-undang dan diharamkan siasatan dijalankan ke atas mereka.

 

“Jadikan SPRM ini satu badan yang unggul dan berkuasa penuh lagi tidak boleh disentuh. Kita nak tengok berapa ramai yang akan bersetuju dengan cadangan tersebut itu nanti,” katanya.

 

Semalam Khairy berkata, tindakan Putrajaya memindahkan 2 pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) tanpa sebarang alasan dilihat sebagai perbuatan tidak adil.

 

Menurut portal Maljlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), ketua pemuda Umno itu berkata 2 pegawai SPRM tersebut hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

 

“Saya melihat pemindahan pegawai itu sungguh pelik dan sangat mengecewakan. Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan atau gangguan daripada mana-mana pihak,” katanya seperti dilaporkan portal BNBBC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.