Erwin Dawson Menyesal Jawab Teguran Aaron Aziz

Pelakon baharu berasal dari Singapura, Erwin Dawson menjelaskan tindakan beliau memuat naik kenyataan balas terhadap secara terbuka di laman sosial Instagram kepada Aaron Aziz sebagai satu kesilapan.

 

Erwin atau nama sebenarnya, Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 26, sebaliknya berkata, mereka masing-masing sudah saling bermaafan dan enggan memperbesarkan isu itu.

 

“Saya akui tindakan saya memuat naik kenyataan balas terhadap teguran yang dibuat oleh Abang Aaron itu sebagai satu kesilapan. Abang Aaron berbuat demikian atas dasar prihatin dan saya sedia menerima nasihat terutamanya dari seseorang berpengalaman sepertinya.

 

“Saya tiada niat untuk tidak bertimbang rasa, terutamanya kepada mereka yang saya hormat dan juga kepada komuniti di keliling saya dan di negara saya yang tersayang.

 

“Malah saya juga tidak marah kepada wartawan yang menulis artikel itu. Semua ini adalah satu salah faham saja. Saya menganggap ianya sebagai satu pengajaran supaya saya lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

 

Sebelum ini Erwin menjadi perhatian selepas Aaron menegur kenyataan pelakon tersebut menerusi artikel oleh sebuah portal hiburan tempatan pada 20 Julai lalu bertajuk ‘Erwin Dawson Mahu Hijrah Ke Malaysia Kerana Islam’ yang dianggap kurang matang dan mendatangkan persepsi negatif terhadap umat Islam di Singapura.

 

Sementara itu, Erwin mengakui kontroversi yang melanda dirinya itu membuka mata orang ramai dengan kewujudan beliau dalam persada seni tempatan. Namun, beliau enggan dikenali sebagai seorang pelakon yang popular dengan publisiti negatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!