‘Di Negara Barat Yang Bebas Pun Ada Batasnya’

Kuala Lumpur – Kerajaan akan mengkaji semakan yang diperlukan dan “norma” di negara-negara maju yang menegakkan kebebasan bersuara dalam pengawalseliaan Internet.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menerusi catatan di laman blognya hari ini menjelaskan, kerajaan akan cuba memastikan Malaysia mengikut piawaian antarabangsa.

 

Namun, tegasnya, di negara barat yang “bebas dan liberal”, mereka masih ada batas terhadap apa yang seseorang itu boleh kata atau siarkan.

 

“Dan ini yang perlu rakyat faham,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.

 

Menurutnya, sebelum butiran lanjut mengenai apa yang dimaksudkannya didedahkan, pembangkang sudah membuat kesimpulan dan menuduh kerajaan cuba menyekat kebebasan rakyat bersuara.

 

Jelasnya, terdapat keperluan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana rakyat Malaysia menganggap media sosial dan Internet sebagai domain tanpa undang-undang.

 

Beliau memberi contoh di United Kingdom, individu yang menghantar sebarang artikel menyakitkan hati orang lain, dengan niat untuk menimbulkan kebimbangan atau kesedihan, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 1 Akta Komunikasi Hasad 1988 di negara itu.

 

Manakala perbuatan menghantar mesej berunsur serangan, sumbang, lucah atau bersifat ancaman melalui rangkaian komunikasi elektronik awam pula merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 127 Akta Komunikasi 2003 di United Kingdom.

 

Namun, untuk mencapai keseimbangan antara kebebasan bersuara dan jenayah, Pengarah Pendakwaan Awam di negara itu telah mengeluarkan garis panduan menjelaskan, mesej yang dihantar melalui media sosial boleh didakwa di bawah undang-undang Britain.

 

“Kemudian kita ada undang-undang fitnah UK yang terpakai untuk penerbitan di Internet. Bagaimanapun, had tempoh setahun selepas penerbitan untuk memfailkan saman fitnah tidak terpakai bagi penerbitan Internet, kerana setiap bahan yang diakses di Internet ditakrifkan sebagai penerbitan baru,” katanya.

 

Tambahan, katanya, ada pula isu menghina mahkamah.

 

Menggunakan media sosial untuk mengulas kes undang-undang, katanya, boleh dianggap sebagai perbuatan menghina mahkamah, di mana pengguna media sosial boleh dikenakan hukuman penjara atau denda.

 

Sehubungan itu, tegasnya, pembangkang perlu belajar untuk tunggu dan lihat apa yang berlaku terlebih dahulu, “sebelum melontar tuduhan kepada kerajaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.