Anuar Zain Takut Dengan Pengaruh Media Sosial

Penyanyi terkenal, Anuar Zain menyifatkan pengaruh media sosial hari ini cukup menakutkan sekaligus membuatkan tiada lagi privasi dalam kehidupan manusia.

 

 

Lebih-lebih lagi apabila sesiapa saja bebas memberikan kenyataan mahupun komen yang kejam dan negatif terhadap orang lain sehingga ke tahap boleh meruntuhkan moral serta merosakkan minda.

 

Akibat tidak mahu menjadi mangsa penyalahgunaan media sosial, Anuar tidak mewujudkan sebarang akaun dunia maya seperti Twitter dan Instagram.

 

“Media sosial sekarang sangat membimbangkan dengan bagaiamana orang memberikan komen atau kenyataan terhadap org lain. Ia sangat menakutkan dan kejam.

 

“Mana hilangnya kasih sayang mereka terhadap sesama manusia? Cuba mereka fikir jika mereka pula yang terima komen-komen negatif, bagaimana agaknya perasan mereka?

 

“Selagi ada media sosial selagi itulah orang dengan seronoknya memberikan komen yang tak sepatutnya terhadap org lain. Bukan saja artis yang menerima nasib sebegitu malah ia berlaku juga pada masayarakat.

 

“Seolah-olah sudah tiada privasi dlm kehidupan manusia, misalnya ada yang berani merakamkan gambar curi seseorang individu itu dan kemudian memuat naik di laman sosial.

 

“Walaupun saya tiada akaun media sosial kadang-kadang ada juga rakan-rakan beritahu mengenai apa yang hangat diperkatakan tentang saya di Internet. Saya tahu orang bercakap tentang saya, tentang kakak saya.

 

“Bagi saya, tak perlu  dan tak penting untuk saya membaca komen-komen negatif sesetengah pihak yang sengaja mahu menimbulkan provokasi,” katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada sidang media konsert Ku Mohon – Tuhan Berikan Aku Cinta, Kuala Lumpur, semalam.

 

Selain Anuar yang bakal menerajui konsert yang dianjurkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) yang akan berlangsung pada 31 Oktober depan, barisan artis lain yang turut terlibat seperti Kumpulan Raihan, Akim & The Majistret, Opick, Ebiet G Ade, Zain Bikha dan penyanyi antarabangsa, Humood Al Khudeer.

 

Dalam pada itu, Anuar menyatakan tidak mempunyai akaun media sosial bukan bermakna dia takut dan tidak boleh menerima kritikan malahan tidak sesekali merasakan dirinya jauh ketinggalan hanya kerana tiada akaun media sosial.

 

Sebaliknya, menganggap pihak yang sering melemparkan komen-komen negatif terhadap seseorang individu menerusi laman sosial sebagai pengecut.

 

“Orang boleh berkata apa saja. Kalau ada yang beranggapan saya tidak ‘up-to-date’, bagi saya tidak semestinya perlu ada akaun media sosial baru seseorang itu dilihat mengikuti perkembangan terkini.

 

“Up-to-date seseorang itu diukur dari segi kebijaksanaan menggunakan akal fikirannya dan berfikiran luas, bernas, positif dan baik.

 

“Selain, mestilah bijak menapis informasi yg kita terima kerana tidak semua benda yang kita baca di Internet itu betul faktanya.

 

“Bagi saya, mereka yang suka melemparkan komen-komen negatif di media sosial sebagai pengecut kerana mereka hanya berani memberi komen menerusi media sosial.

 

“Bagi saya, jika ada apa-apa yang tidak puas hati datang berjumpa dan bercakap terus depan saya. Tak perlu mewujudkan akaun palsu dan kemudian membuat provokasi dan kenyataan atau komen-komen negatif tentang orang lain,” tegasya.

 

Sementara itu, berkongsi tentang perkembangan seni, Anuar menyatakan dia dalam proses menghasilkan album terbaharu yang dijangka akan dilancarkan sekitar hujung tahun ini.

 

“Album terbaru saya akan memuatkan lapan buah lagu tetapi setakat ini baru satu lagu baru siap berjudul Belahan Jiwa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.