1MDB: SPRM Kunjungi Pejabat Goldman Sachs

Kuala Lumpur – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah pergi ke pejabat Goldman Sachs untuk mendapatkan dokumen berhubung syarikat pelaburan strategik kerajaan itu, bulan lalu.

 

Seorang sumber memberitahu Reuters, pegawai SPRM pergi ke pejabat Goldman Sach di Kuala Lumpur pada 8 Julai lalu, hari sama suruhanjaya itu berkunjung ke pejabat 1MDB.

 

“1MDB adalah subjek siasatan, bukan Goldman Sachs,” demikian kata sumber itu.

 

Goldman Sachs sedang bekerjasama dengan SPRM atas permintaan agensi berkenaan, kata sumber itu lagi tanpa mendedahkan butiran lanjut.

 

Goldman Sachs bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

 

Bank pelaburan Amerika Syarikat itu dikritik media tempatan dan pemimpin pembangkang, disebabkan faedah yang dikenakan bagi membantu menguruskan hutang 1MDB.

 

Goldman Sachs mendapat kira-kira $590 juta dalam bentuk bayaran, komisen dan perbelanjaan, kerana membantu 1MDB mengumpul $6.5 bilion (RM25 bilion) menerusi tiga perjanjian bon, pada 2012 dan 2013.

 

Goldman membeli sebahagian bon itu sendiri, sebelum menjualnya.

 

Namun, Goldman mendapat lebih banyak keuntungan ke atas bon itu, kira-kira sembilan peratus secara keseluruhan, berbanding caj satu peratus yang biasanya dikenakan untuk pengurusan bon.

 

Penyiasat di Malaysia sedang menyiasat pengurusan dana itu, termasuk dakwaan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada mulanya dikatakan adalah dana milik 1MDB, sebelum disahkan adalah sumbangan penderma dari Timur Tengah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.