Selepas 10 Tahun, Mangsa Tsunami Kembali Bertemu Ibu

Banda Aceh – Kanak-kanak wanita Indonesia yang dibawa arus dalam tsunami Lautan Hindi pada 2004, ditemukan semula dengan ibu bapanya sepuluh tahun selepas dianggap meninggal dunia, kata ibunya semalam.

Raudhatul Jannah berumur empat tahun ketika beliau dan abangnya dibawa arus daripada rumahnya di wilayah Aceh Barat pada 26 Disember 2004, kata ibunya Jamaliah.

Jamaliah berkata beliau dan suaminya berhenti mencari selepas sebulan setelah percaya anaknya meninggal dunia, sehinggalah saudaranya menemui remaja menyerupai anaknya pada Jun.

Mereka mendapati gadis itu dijaga oleh seorang perempuan tua berdekatan daerah Aceh Barat Daya. Keluarga mereka disatukan semula kelmarin.

“Saya dan suami sangat gembira berjumpa lagi dengan dia,” kata Jamaliah melalui telefon daripada Meulaboh, bandar utama di Aceh Barat. “Ini keajaiban tuhan.”

Jamaliah berkata beliau pada mulanya meragui gadis itu anak perempuannya sehinggalah dapat menatap wajahnya.

“Jika ada siapa lagi yang ragu, saya sedia buat ujian DNA,” katanya.

Jamaliah berkata selepas tsunami melanda rumahnya, Raudhatul dan abangnya, ketika itu tujuh tahun, terlepas daripada tangan suaminya ketika berpaut di papan kayu yang terapung.

Raudhatul, sekarang 14 tahun, memberitahu bahawa abangnya juga mungkin selamat kerana mereka tersadai di Pulau Banyak, menurut ibunya.

“Kami akan cari dia di Pulau Banyak kerana kami percaya dia masih hidup,” katanya.

Pulau terpencil yang tanpa penduduk itu terletak kira-kira 40 kilometer dari pantai.

Tsunami Lautan Hindi melanda selepas gempa bumi dari pulau Sumatra, mengorbankan 230,000 orang daripada 14 negara, termasuk 17,000 nyawa di Aceh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.