Saya Tidak Akan Letak Jawatan – Peguam Negara

Putrajaya – Tan Sri Abdul Gani Patail menegaskan beliau tidak akan tunduk dengan desakan pelbagai pihak yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai Peguam Negara.

Beliau turut menjelaskan apa yang dilakukannya hanya berlandaskan undang-undang dan bukannya membuat tindakan berbentuk populis.

“Saya tidak boleh buat apa-apa, saya perlu mengikut undang-undang yang ada. Saya seorang profesional. Saya tidak berlakon, saya juga tidak popular macam orang lain. Saya ikut undang-undang.

“Selagi saya masih memegang jawatan ini, selagi itu saya akan selesaikan kerja saya sehabis baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Abdul Gani sebelum ini didesak oleh pelbagai pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO supaya melepaskan jawatan kerana didakwa gagal menangani kes yang melibatkan penghinaan terhadap bangsa Melayu dan agama Islam.

Abdul Gani juga dikecam hebat kerana didakwa mengamalkan pendakwaan terpilih apabila didakwa menghukum mereka yang menghina agama dan bangsa lain sedangkan tiada sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang menghina bangsa Melayu dan agama Islam.

Abdul Gani akui, beliau dan Ketua Polis Negara mengalami beberapa kesulitan dalam usaha untuk mencari bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

“Memang saya akui kami ada masalah dalam mencari sesuatu kes itu, tapi sepanjang yang kami maklum, kami perlu ikut undang-undang, sebab kami tidak boleh lari daripada undang-undang.

“Bila kami pergi ke mahkamah, kami perlu gunakan undang-undang. Saya mungkin ada sentimen peribadi saya, tapi itu saya simpan untuk saya sendiri.

“Faktanya, mari kita lihat satu-satu yang kena siasat dan kena tuduh ini, dan ada lagi yang akan dituduh esok dan kemudiannya, maksudnya apa? Kami ambil tindakan bukan?,” ujarnya sambil menambah beliau tidak tidur seperti didakwa ramai pihak.

Abdul Gani menjawat jawatan sebagai Peguam Negara sejak 1 Januari 2002 dan telah berkhidmat selama 12 tahun.

Beliau juga telah berkhidmat untuk tiga Perdana Menteri sebagai penasihat utama kepada hal ehwal perundangan negara.

Kedudukan Abdul Gani mula dipertikai setelah Jabatan Peguam Negara yang diketuainya didakwa tidak membuat pendakwaan terhadap beberapa isu sensitif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.